Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian Perpaduan bawa rayuan isu SOP Tahun Baru Cina pada MKN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Perpaduan Negara membawa pandangan dan rayuan orang ramai berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk perayaan Tahun Baru Cina kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perkembangan itu hadir selepas ramai pihak membidas SOP berkenaan yang dianggap mengelirukan apabila makan malam keluarga hanya dibenarkan di kalangan ahli keluarga dari rumah yang sama, sedangkan pada masa sama aktiviti ekonomi lain seperti pasar malam dibenarkan beroperasi.

"Setelah mendengar pandangan dan rayuan masyarakat kaum Cina berkaitan dengan Makan Besar Keluarga dan kehadiran penganut ke Rumah Ibadat Tokong pada 11, 12 dan 19 Februari 2021 sempena Perayaan Tahun Baru Cina maka dengan itu, pihak Kementerian Perpaduan Negara akan mengangkat pandangan dan rayuan tersebut kepada pihak MKN.

"Sebarang pengumuman berkaitan dengan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baru Cina akan diumumkan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob," kata kementerian itu dalam kenyataan media hari ini.

Kementerian itu turut berkata pihaknya sebelum ini membuat memperkenalkan SOP Tahun Baru Cina selepas mengambil pandangan 21 persatuan agama, budaya Cina dan pihak yang berkaitan pada 12 dan 18 Januari.

Semalam, Ismail Sabri mengatakan makan malam keluarga hanya dibenarkan untuk ahli keluarga yang tinggal bersama.

Lawatan dari rumah ke rumah, perjalanan rentas daerah dan negeri dilarang.

Begitu juga mengunjungi tokong turut tidak dibenarkan kecuali bagi maksimum lima anggota jawatankuasa tokong.

Acara seperti tarian singa, persembahan opera dan perarakan Chingay juga dilarang.

Tahun Baru Cina jatuh pada 12 Februari tahun ini dan secara tradisinya disambut selama 15 hari.

Timbalan Menteri Perpaduan Nasional Ti Lian Ker merupakan antara yang mempersoalkan SOP itu sebelum ini.

"SOP ini mesti ditarik balik dan diperbetulkan dengan cepat. Ini bukan SOP tetapi larangan," katanya.