Kebakaran di depoh pelupusan DBKL, rumah di Jalan Telawi
Satu kebakaran melibatkan longgokan barangan lama berlaku di depoh pelupusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Sungai Besi, di Kuala Lumpur pada pukul 7.30 malam tadi.
Komander Operasi Kanan Muhammad Ridhwan Kamarulzaman dipetik Bernama berkata lapan jentera bomba dengan 45 anggota dari BBP Bandar Tun Razak, BBP Pudu, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sentul, BBP Wangsa Maju dan di bantu petugas DBKL bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya mendapat panggilan kecemasan.
“Api dapat dikawal pada 10.50 malam dan padam sepenuhnya pada pukul 11.09 malam, tiada mangsa yang terlibat.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, Bernama melaporkan satu kebakaran di Jalan Telawi, Bangsar, memusnahkan kira-kira 80 peratus daripada sebuah rumah teres dua tingkat, di Kuala Lumpur malam tadi.
Komander Operasi Kanan Bomba Japari Tajuddin berkata enam jentera dengan kekuatan 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai serta BBP Seputeh dan BBP Taman Tun Dr Ismail digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.50 malam ini, dan kebakaran turut menjejaskan rumah bersebelahan, mengakibatkan kerosakan pada bahagian dinding dan bumbung rumah berkenaan.
“Kebakaran dipadam sepenuhnya pada pukul 10.20 malam, tiada mangsa yang terlibat, dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai