Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar China seru negara lain siasat punca Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Siasatan lanjut untuk mengesan punca Covid-19 harus diteruskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara-negara lain, kata pakar perubatan China.

Pakar berkenaan berkata selain menjadikan Wuhan persinggahan pertama untuk memulakan misi menyiasat asal usul wabak itu, siasatan dan penyelidikan rapi juga perlu dilakukan di lokasi lain.

Mengulas kehadiran misi pasukan pakar WHO di Wuhan, jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin menyatakan, sikap proaktif, saintifik dan kerjasama perlu ada pada setiap negara bagi membolehkan pakar WHO menjalankan siasatan.

Mengenai asal usul virus, Wang menyifatkannya sebagai satu persoalan saintifik yang rumit membabitkan banyak negara dan lokasi.

Tegasnya, Beijing sentiasa bersikap terbuka dan telus dalam mengendalikan perkara tersebut, di samping mengekalkan komunikasi dengan WHO.

“Kehadiran pakar WHO di Wuhan kali ini merupakan antara komponen kaji selidik peringkat global mengenai siasatan asal usul virus Covid-19.

"Kemunculan kes jangkitan dan penularan wabak di beberapa tempat di dunia sejak pertengahan kedua tahun 2019, mencuri perhatian media antarabangsa. Ini memperlihatkan betapa mustahaknya kajian perlu dilakukan di tempat lain,” ujarnya dalam sidang media di Beijing pada Jumaat.

Beliau mencadangkan negara lain turut mempelawa pakar WHO untuk menjalankan siasatan, demi menyumbang kepada usaha sama memerangi wabak di peringkat global serta visi membentuk komuniti berkongsi nasib dalam kesihatan.

- Bernama