Skip to main
Logo Malaysiakini

Judi dalam talian: Polis tahan enam warga China

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan enam warganegara China disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian di Mont Kiara, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata pihaknya telah menyerbu sebuah rumah judi terletak di kawasan tersebut 7 petang semalam dan menahan empat lelaki dan dua wanita warganegara China.

“Suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan polis turut merampas barangan seperti tiga buah komputer riba, 10 buah telefon dan tiga buah modem.

“Polis mendapati sindiket itu menyewa rumah yang dijadikan premis perjudian dengan bayaran RM2,000 sebulan, dan kerap berpindah randah bagi mengelak dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati sindiket berkenaan telah menjalankan kegiatan perjudian dalam talian, bagi pasaran negara China.

Katanya kesemua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 39(b)/6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

- Bernama