Skip to main
Logo Malaysiakini

MP mahu k’jaan selesaikan masalah harga gajet mahal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menggesa kerajaan supaya menyelesaikan masalah kenaikan harga peranti elektronik yang digunakan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Sim turut menuntut kerajaan untuk menyegerakan peruntukan 150,000 komputer riba kepada pelajar seperti yang dinyatakan menerusi Belanjawan 2021.

Wakil rakyat dari DAP itu berkata demikian selepas portal Sinar Harian melaporkan peningkatan harga komputer riba dan gajet elektronik melambung sehingga lebih 70 peratus.

Tambahnya, dia juga telah menerima beberapa aduan oleh ibu-bapa berhubung perkara sama.

 “Berita ini tidak mengejutkan kerana sejak hujung tahun lepas, media telah pun melaporkan ketiadaan stok komputer riba yang berharga sederhana dan pengguna terpaksa membeli komputer riba yang lebih mahal.

“Saya sendiri juga mempunyai pengalaman yang sama dalam menjalankan kempen "Asal Cek Mau Pi Sekolah", di mana salah satu komponennya ialah memberikan peranti percuma, sama ada komputer riba ataupun tablet, kepada para pelajar dari keluarga miskin.

“Malah saya menerima pelbagai aduan tentang perkara ini daripada orang awam yang terpaksa membeli peranti untuk anak-anak mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Sim juga menggesa kerajaan supaya memastikan pelajar menerima pendidikan seperti biasa sewaktu wabak Covid-19.

Kata Sim lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal menangani wabak Covid-19 sehingga menyebabkan rakyat terpaksa berdepan beberapa krisis, yakni krisis kesihatan, krisis ekonomi, krisis politik, krisis keyakinan dan krisis pendidikan.

“Laporan kementerian pendidikan sendiri pada April 2020 menunjukkan bahawa hampir 40 peratus pelajar di Malaysia tiada sebarang peranti untuk mengikuti PdPR. Hanya 5.7 peratus yang mempunyai komputer atau tablet manakala sebahagian besar iaitu 46 peratus mempunyai telefon pintar.

“Penggunaan telefon pintar yang berskrin kecil sudah tentu mendatangkan pelbagai cabaran dan kesusahan dalam PdPR,” tambahnya.