Bekas CEO: Jho Low yang 'uruskan' 1MDB
KES 1MDB NAJIB | Low Taek Jho yang sebenarnya menguruskan 1MDB, menurut bekas CEO syarikat itu Mohd Hazem Abdul Rahman.
Hazem yang merupakan saksi pendakwaan kesepuluh berkata demikian ketika perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammad, Hazem berkata ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low itu merupakan individu yang menguruskan 1MDB, terutama dalam soal pelaburan.
Dia berkata Jho Low memberikan arahannya menerusi emel.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Aizuddin berhubung emel Jho Low kepadanya berhubung pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP), Tanjong Energy dan Genting Sanyen.
Dalam keterangan saksinya, Hazem mendakwa Jho Low memberikan justifikasi yang boleh digunakan untuk pengambilalihan tersebut, jika isu itu dibangkitkan awam.
"Jho Low yang uruskan syarikat. Jika saya berkata apa-apa yang bertentangan dengan arahan, ia akan menjejaskan kerjaya saya (di 1MDB)," katanya di depan hakim Collin Lawrence Sequerah.
Dia menjelaskan budaya kerja di 1MDB yang perlu diikuti, seperti mematuhi arahan Jho Low berkenaan justifikasi yang dicadangkannya terhadap pengambilalihan IPP.
Wan Aizuddin: Adakah dia ancam untuk pecat anda?
Hazem: Tidak.
Wan Azuddin: Adakah dia kata dengan sikap ini (Hazem yang keberatan mematuhi arahan tertentu daripada Jho Low) anda tidak akan dapat naik dalam 1MDB?
Hazem: Lebih baik patuh atau berhenti saja (daripada 1MDB).
Ketika Wan Aizuddin bertanya bagaimana budaya itu dipupuk dalam 1MDB - sama ada jika "seseorang tidak mengikut arus, dia akan berdepan masalah - Hazem menjelaskan ia bukan soal pandangan yang popular atau dipegang ramai, tetapi berkenaan mematuhi arahan Jho Low.
Katanya lagi, dia akhirnya letak jawatan sebagai CEO pada Mac 2015 selepas dua tahun menggantikan Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Najib dibicarakan untuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
Perbicaraan bersambung pada pukul 1.30 tengah hari esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai