Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak patut menteri kena kuarantin 3 hari saja, kata Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Melonggarkan tempoh kuarantin - hanya selama tiga hari - ke atas menteri yang pulang daripada lawatan di luar negara hanya membuka risiko yang lebih bahaya, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berpendapat keputusan terbaru kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu juga boleh membawa negara kepada keadaan lebih buruk seperti yang berlaku selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu,

Kata Najib secara purata virus Covid-19 mengambil tempoh lima hingga enam hari untuk proses inkubasi.

"Ada bahayanya jika mereka yang telah dijangkit akan (tersalah) dilepaskan terlalu awal lalu menjangkiti ramai lagi orang setelah disangka mereka bebas daripada Covid-19.

"Ini terbukti semasa kuarantin kendiri tiga hari pada mulanya dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mereka yang pulang dari PRN Sabah," kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Memberikan contoh beberapa wakil rakyat Semenanjung Malaysia yang baru pulang dari Sabah pada Sept tahun lalu, kata Najib, mereka dibebaskan lebih awal dari biasa kerana keputusan awal ujian saringan negatif, namun ujian kedua mengesahkan mereka positif.

Misalnya kata Najib, kes membabitkan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei, yang pulang dari Sabah pada 27 Sep dan dipotong gelang kuarantin pada 30 Sept setelah ujian pertama negatif.

Namun Lim didapati positif Covid pada 2 Okt.

Begitu juga dengan Adun Ayer Limau Amiruddin Yusoff yang pulang dari Sabah pada 28 Sep, gelang kuarantinya dipotong pada 1 Okt setelah ujian pertama negatif, tetapi positif Covid pada 2 Okt.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri dariapda 10 kepada hanya tiga hari.

Perintah itu dinamakan "Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021" terbit pada Warta Persekutuan semalam ditandatangani Adham dan berkuat kuasa hari ini.

Najib berkata, Covid-19 menjangkiti mangsanya tanpa mengira pangkat mahu pun darjat.

Jelas Najib, peraturan dwistandard ini telah mengakibatkan rakyat tidak berpuas hati.

"Antara ketidakpuasan terbesar ramai ialah dwistandard dalam perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tapi ini pula dibuat pada ketika rakyat tengah marah.

"Tak patut... Menteri kuarantin tiga hari, rakyat kuarantin 10 hari. Covid-19 tak takut pangkat," tulis Najib.

Hari ini, Adham mempertahankan pewartaan itu dengan menegaskan tempoh kuarantin tiga hari hanya jika menteri benar-benar mengikut "gelembung program perjalanan" (itinerary bubble), iaitu tidak terlibat dengan mana-mana program kecuali pertemuan rasmi.

"Setiap menteri Kabinet perlu memohon kelulusan daripada Perdana Menteri dan Kabinet sebelum ke luar negara. Untuk tujuan ini, hanya gelembung program perjalanan yang ketat yang dibenarkan.

"Saya akan buat penilaian dan jika mereka mematuhi jadual lawatan kerja, mereka perlu jalani (kuarantin) 10 hari. Ini jelas," katanya seperti dipetik laman CodeBlue.