Skip to main
Logo Malaysiakini

Cabul: Paderi bisu, pekak mengaku tak bersalah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang paderi warga Korea yang bisu dan pekak yang pernah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini atas tuduhan mencabul, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul seorang lelaki kurang upaya (OKU) 20 tahun lalu.

Jee Jon Hoon, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan melalui jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa di hadapan Majistret Rosnee Mohd Ridzuan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu termasuk memeluk dan mencium mangsa yang berumur 30 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Gelugor, Pulau Pinang, pada tahun 2000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Sobini Kobu.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk serahan dokumen.

Pada 18 Dis lepas, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas dua pertuduhan mencabul dua lelaki OKU, tujuh tahun lepas.

-Bernama