Jho Low ada kuasa tentukan CEO 1MDB - saksi
KES 1MDB NAJIB | Ahli perniagaan Low Taek Jho ada kuasa untuk melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, menurut bekas CEO syarikat itu Mohd Hazem Abdul Rahman.
Saksi pendakwaan kesepuluh itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Wan Aizuddin bertanya mengapa dia kekal sebagai CEO pada 2013 hingga 2015 walaupun kecewa dengan cara syarikat milik Kementerian Kewangan itu diuruskan.
Wan Aizuddin: Jho Low ada kedudukan untuk tentukan siapa CEO (1MDB)?
Hazem: Ya.
Wan Aizuddin: Dia ada autoriti itu?
Hazem: Ya.
Ketika perbicaraan semalam, Hazem dalam keterangannya berkata Jho Low yang sebenarnya "menguruskan" 1MDB dengan cara memberi arahan menerusi emel kepadanya.
Katanya, Jho Low dapat berbuat demikian kerana budaya kerja syarikat itu membolehkan perkara itu berlaku.
Dalam perbicaraan hari ini, Hazem berkata kerana budaya kerja 1MDB juga, penglibatan Jho Low dalam perjalanan syarikat tiada dalam rekod bertulis rasmi mesyuarat ahli lembaga pengarah.
Bagaimanapun, dia mendakwa ada ahli lembaga pengarah yang sedar akan penglibatan Jho Low walaupun ahli perniagaan itu tiada apa-apa peranan rasmi dalam hal ehwal 1MDB.
Dakwanya, "semua orang tahu yang nama Jho Low tidak boleh direkodkan", merujuk antaranya minit mesyuarat lembaga pengarah.
Dia mendakwa sebelum menyertai 1MDB sebagai ketua pegawai operasi (COO) pada Ogos 2012, Jho LOw memberitahunya agar tidak memasukkan penglibatannya dalam syarikat secara bertulis.
Dia mendakwa Jho Low memberitahu perkara itu dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya sebelum dia menyertai 1MDB.
Wan Aizuddin: Selaku ahli perniagaan yang jujur, adakah anda tidak terkejut dan rasa perlu dedahkan (penglibatan Jho Low) kepada lembaga pengarah?
Hazem: Ini budaya yang diamalkan. Ini bukan syarikat biasa, tetapi syarikat milik kerajaan dan orang yang mengawalnya adalah kuasa tertinggi dalam negara.
Wan Aizuddin: Pendedahan (maklumat) penting kerana ia mengendalikan wang rakyat.
Hazem: Ya.
Wan Aizuddin: Anda tidak persoalkan dia (Jho Low) balik dengan kata 'saya bukan boneka anda'?
Hazem: Ini arahannya. Ini (1MDB) sebuah syarikat bawah PMO (Pejabat Perdana Menteri).
Najib merupakan perdana menteri dari April 2009 hingga Mei 2018. Dia juga bekas menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
1MDB merupakan subsidiari milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai