Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Lupakan isu remeh, rangka dasar bayangan RMK12

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah rancangan pembangunan lima tahun bermula tahun ini 2021. Wawasan 2020 berakhir tahun lepas bersama-sama berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-11. Ini menjadikan RMK12 suatu rancangan pembangunan yang penting.

RMK12 mestilah digubal, dirangka, dirancang dengan teliti oleh sebuah kerajaan awam yang berwibawa yang ada integriti.

Kerajaan minoriti Perikatan Nasional (PN) yang dketuai oleh Muhyiddin Yassin yang bergayut untuk terus berkuasa bawah darurat tidak mempunyai autoriti moral untuk membentangkan RMK12.

Lebih-lebih lagi RMK12 perlu dibentangkan di parlimen untuk dibahaskan.

Dalam keadaan parlimen sekarang digantung bermakna kerajaan PN yang ada sekarang mengorbankan rancangan pembangunan lima tahun RMK12 itu semata-mata untuk terus berkuasa.

Perlu disebut bahawa kerajaan darurat yang menggantung parlimen tidak ada mandat untuk meluluskan RMK12.

Dalam keadaan seperti ini, menjadi tanggungjawab pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membuang masa dengan isu remeh-temeh.

PH mesti bersiap sedia sekarang dengan mengembleng tenaga pakar ekonomi mereka untuk merangka dasar bayangan RMK12, sekurang-kurangnya.

Isu ekonomi adalah isu yang penting kepada rakyat jelata seluruh kaum di negara kita sekarang ini.

Tugas pemimpin utama PH ialah memberi harapan kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia.

Fenomena di media sosial yang menyaksikan warga netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN tidak boleh menjadikan pemimpin utama PH syok sendiri dan goyang kaki.

Perlu diingat kritikan dan cemuhan warga netizen terhadap Muhyiddin dan kerajaannya tidak akan boleh menjatuhkan kerajaan darurat PN itu dengan mudah begitu sahaja.

PH perlu mengemukakan apa dasar ekonomi mereka. Bagaimana peluang pekerjaan baru hendak dihasilkan bagi mengatasi masalah pengangguran lebih sejuta rakyat.

Sekarang masanya

Ini bukan mudah. Perlu dibentuk semacam majlis pemikir di bidang sosioekonomi untuk memberi imput dan nasihat kepada PH.

Jangan hendak tunggu kerajaan PN jatuh baru hendak fikir hal kehidupan sosioekonomi rakyat.

Sekaranglah masanya dijemput golongan bijak pandai, ahli intelektual di universiti, atau yang telah bersara untuk sama-sama menyelamatkan negara.

Jangan terlalu taksub untuk mengambil alih kuasa, tetapi apabila telah mendapat kuasa nanti tidak ada program, tidak ada polisi yang matang dan komprehensif untuk dilaksanakan.

Maka akan jadi pisang berbuah dua kali seperti apabila perdana menteri daripada Langkawi terkejut kerana menang dan jadi kerajaan.

Beliau ingatkan manifesto yang PH rangka dan ketengahkan semasa pilihan raya umum ke-14 sengaja menabur janji kepada rakyat.

Lalu PM ketujuh menganggap manifesto PH bukannya kitab suci. Ertinya janji manifesto itu boleh dimungkiri. Inilah antara punca awal kejatuhan kerajaan PH.

Justeru itu, pemimpin utama PH jangan berlengah lagi untuk mencari penyelesaian bagaimana antaranya, untuk menarik kembali pelabur asing ke Malaysia; mempertingkatkan penarafan rating kewangan; melahirkan pekerja bergaji tinggi; memulihkan harga komoditi utama negara; mengurangkan kemiskinan; merapatkan jurang kaya-miskin; dan jurang kemajuan antara semenanjung dengan Sabah-Sarawak.

Jika PH dapat memberi harapan bahawa kehidupan rakyat biasa, dan kehidupan ekonomi negara dapat dipulihkan dan negara ini akan menjadi lebih baik, peluang untuk PH kembali diberi kuasa dan mandat akan mudah menjadi kenyataan.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.