Skip to main
Logo Malaysiakini

Arifin janji laksanakan tugas sebaik mungkin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berjanji akan menjalankan tanggungjawab diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin.

“Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan Tuanku melantik saya ke jawatan ini.

”Insya-Allah dengan kerjasama dan komitmen ahli-ahli jawatankuasa tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya selaras dengan peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai pelantikannya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pelantikan Arifin dan 18 individu lain berkuat kuasa serta-merta telah diperkenankan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka yang dilantik adalah bekas Ketua Setiausaha Negara Samsudin Osman; bekas Ketua Polis Negara Norian Mai; bekas Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof Dr Mohamad Taha Arif; dan pakar bedah jantung Dr Yahya Awang.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Ter Leong Yap; Pro-Canselor Universiti Cyberjaya Dr R Palan, bekas Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Peguam Negara Sallehuddin Saidin, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan pakar kesihatan awam Prof Datu Dr Andrew Kiyu Dawi Usop.

Selain itu juga dilantik bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Sukarti Wakiman; Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar; Ahli Parlimen Batang Lupar Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut tersenarai dalam jawatankuasa berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan untuk menasihati Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Sementara Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pula akan berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.

- Bernama