Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam gesa gubal segera RUU IPCC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) digubal segera.

Gesaan itu hadir berikutan seorang lelaki mendakwa dia diserang anggota polis berpakaian biasa berulang kali dalam kejadian pada pagi 24 Jan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok.

"Kerajaan perlu memastikan agar RUU IPCC ini merangkumi inti pati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia 2005.

"Suhakam yakin bahawa penubuhan badan yang lebih bebas, adil dan telus akan mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

RUU IPCC merupakan satu daripada lima undang-undang yang dijadualkan akan dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat pada Dis lalu. Bagaimanapun ia ditunda ke sesi sidang seterusnya yang asalnya diadakan pada awal Mac ini.

Bagaimanapun pelaksanaan darurat, penggantungan perlembagaan dan parlimen menjadikan status RUU berkenaan tidak dapat dipastikan nasibnya.

Pada 6 Feb lalu Malaysiakini melaporkan seorang lelaki Lim Xiang Hui, 20, mendakwa dia dipukul anggota polis menggunakan tangan dan kaki di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang. https://www.malaysiakini.com/news/561928

Lim disyaki terlibat sebagai "tonto" bagi satu sindiket penyeludupan rokok.

Ketua Polis Pahang Abdul Jalil Hassan berkata polis sedang menyiasat laporan Lim di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.