Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet Najib setuju tak umumkan derma Arab - Saksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa kabinet pada tahun 2010 bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Najib Razak ketika itu untuk menyembuyikan isu derma Arab Saudi kepada yayasan 1MDB.

Bekas timbalan ketua setiausaha kabinet Mazidah Abdul Majid dalam keterangannya berkata kabinet bersetuju dengan perkara itu setelah Najib memberitahu mereka bahawa Raja Arab Saudi bersetuju membuat sumbangan berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-11 itu memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah terhadap Najib berkaitan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion petang ini.

Dalam perbicaraan pada 27 September 2019, pihak pendakwaan mengemukakan empat cek, yang didakwa dikeluarkan oleh kerabat diraja Arab Saudi kepada Yayasan 1MDB bertarikh 2010 yang bernilai AS $ 25 juta setiap satu tetapi tidak pernah ditunaikan.

Pihak pendakwaan kemudian berpendapat bahawa cek tersebut, yang didakwa dikeluarkan oleh Putera Saud Abdulaziz Al-Saud dan Putera Faisal Turki dan dikatakan diserahkan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, mungkin digunakan untuk menyembunyikan sumber berjumlah lebih RM2 bilion dana yang didakwa ditemui dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberi keterangan ketika itu bahawa dia menerima cek dari Low untuk disimpan.

Semasa perbicaraan hari ini, Mazidah membacakan pernyataan saksi mengenai mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Najib pada 8 September 2010.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa Najib memberitahu kabinet bahawa dia telah mengadakan hubungan rasmi dan tidak rasmi dengan pelbagai pihak dari Timur Tengah dan mendapat respons positif mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Malaysia.

Mazidah memberi keterangan bahawa Najib memberitahu kabinet bahawa Putera Mahkota Saudi Sultan Abdul Aziz Al-Saud telah menyatakan persetujuan untuk menyerahkan sumbangan kepada Yayasan 1MDB.

"Sumbangan pertama telah diterima dan mereka (yang dikatakan putera mahkota) telah berjanji untuk memberikan lebih banyak sumbangan selepas ini.

"Sultan Abdul Aziz Al-Saud meminta agar sumbangan ini tidak diumumkan (kepada umum)," kata Mazidah mengenai apa yang dikatakan Najib kepada kabinet ketika itu.

Saksi itu menambah bahawa kabinet kemudian bersetuju dengan Najib "supaya sumbangan dari kerajaan Arab Saudi tidak diumumkan".

Setelah selesai membaca pernyataan saksi setebal 32 halaman semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan, ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah akan menyediakan soalan bagi pemeriksaan balas terhadap saksi berkenaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding petang ini, dan menetapkan perbicaraan disambung semula sekitar jam 9.15 pagi esok.

Pembelaan dijadual melakukan pemeriksaan balas berhubung keterangan Mazidah esok.

Najib menghadapi empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).