Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin Covid-19 diperluas kepada bukan warganegara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan telah memutuskan bahawa pemberian vaksin Covid-19 di negara ini, akan turut melibatkan golongan bukan warganegara.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, hal itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri semalam, dan akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

“Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin Covid-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak.

“Keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin Covid-19 yang diperolehi Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara Malaysia yang layak menerimanya.

“la juga adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam satu ciapan oleh di Twitter, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pula berkata keputusan itu turut melibatkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Khairy yang juga pengerusi bersama JKJAV menjelaskan pada satu ciapan Twitter bahawa ini secara prinsipnya, turut merangkumi pendatang asing tanpa dokumen.

“Secara prinsipnya, kabinet turut bersetuju menyediakan vaksin percuma kepada pendatang asing tanpa dokumen.

“Jawatankuasa akan membincangkan lebih lanjut tentang bagaimana ini akan dapat dilaksanakan. Kami akan menghubungi kerajaan negeri, kedutaan asing, dan NGO untuk membantu,” ciapnya.

Selain Khairy, jawatankuasa khas ini juga dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Dalam kenyataan sama, jawatankuasa itu berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya, rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing dalam sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan, selain kos rawatan dan kuarantin yang tinggi akibat jangkitan kluster pekerja asing.

Menurut jawatankuasa itu pemberian vaksin kepada warga asing dilihat sebagai langkah berperikemanusian.

Katanya, hal itu memandangkan pekerja asing telah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Ini juga jelasnya, dapat menjadi teladan kepada negara lain di dunia yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.