Skip to main
Logo Malaysiakini

Razali tak sensitif guna ungkapan 'penyakit mental' - senator

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sehari selepas Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Razali Idris menggesa agar rang undang-undang baru mengenai cercaan, hasutan dan carutan diperkenalkan, sekumpulan senator tampil menegur kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, mereka berkata Razali tidak wajar menyalahgunakan ungkapan "penyakit mental" dengan sewenang-wenangnya dan tiada rasa sensitif.

Kata mereka ketika ini ramai pihak yang mengalami kemurungan akibat keadaan ekonomi yang tidak menentuk ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Razali sewajarnya lebih memperlihatkan kematangan sebagai anggota Dewan Negara dan tidak menyalahgunakan frasa ‘penyakit mental’ sesuka hati," kata mereka.

Semalam Razali dilaporkan Bernama sebagai berkata cercaan, hasutan dan carutan oleh warganet di media sosial dilihat sudah menjadi penyakit mental nombor satu di negara ini dan memerlukan tindakan undang-undang yang lebih tegas.

Justeru Razali mencadangkan satu rang undang-undang baru digubal dengan meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Kenyataan itu dibuat selepas warganet menghujani media sosial orang kenamaan dengan mengecam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Antara yang menjadi tempat pengguna media sosial menyatakan kemarahan mereka kepada Muhyiddin ialah di Facebook Istana Negara serta akaun Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Tak setuju pandangan diberi

Untuk rekod Muhyiddin ialah presiden Bersatu yang membawa parti berkenaan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama parti lain yang sebelum itu menjadi pembangkang.

Kemarahan rakyat kepada ahli parlimen Pagoh itu akhir-akhir ini banyak disebabkan nasihat diberikan kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong agar negara diletakkan dalam darurat.

Kata senator terbabit Razali kelihatan sangat rentan dengan kritikan rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan kemampuan kerajaan PN menangani wabak Covid-19.

Keadaan itu kata mereka mendorong pengerusi Bersatu Terenggani itu sanggup mahu membungkam hak bersuara rakyat Malaysia walaupun ia bertentangan dengan peruntukan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Razali tentunya berhak bersuara sebagai seorang anggota Dewan Negara walaupun kami tidak bersetuju dengan pandangannya pada kali ini.

"Namun tidak wajar bagi Razali (bercakap) untuk mewakili kaukus apabila pandangan yang diutarakan adalah penuh kontroversi dan bersifat partisan," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani 20 senator, termasuk tiga daripadanya anggota kaukus diketuai Razali itu. Senator yang membuat kenyataan tersebut ialah:

  1. Raj Munni Sabu (Kaukus)
  2. Liew Chin Tong (Kaukus)
  3. Theodore Doughlas (Kaukus)
  4. Ismail Yusop (Kaukus)
  5. Yaakob Sapari
  6. Marzuki Yahaya
  7. Waythaa Morthy Ponnusamy
  8. Dato Donald Peter Mojuntin
  9. Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah
  10. Husam Musa
  11. Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
  12. Manolan Mohamad
  13. Mohd Imran Abdul Hamid
  14. Dr Ahmad Azam Hamzah
  15. Lim Hui Ying
  16. Nga Hock Cheh
  17. Alan Ling Sie Kiong
  18. Adrian Banie Lasimbang
  19. Kesavadas Achyuthan Nair
  20. Suresh Singh