Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin: Ambil inspirasi tahun lembu emas hadapi Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Semua rakyat Malaysia terutamanya yang berketurunan Tionghua diharap dapat mengambil inspirasi daripada zodiak Lembu Emas bersempena sambutan Tahun Baru Cina esok.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata mengikut zodiak Cina, tahun Lembu Emas merupakan tahun bertuah yang membawa makna kerajinan, ketekunan, ketabahan, kekuatan dan kekayaan.

“Kita menyambut Tahun Baru Cina ini dengan tekad dan iltizam untuk bekerja lebih keras serta cekal mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan ekonomi.

“Saya yakin, berbekal tekad yang jitu, kita pasti akan dapat mengatasinya. Justeru, marilah kita bersama-sama mengambil inspirasi daripada nilai ‘Year of the Ox’ untuk mencipta kegemilangan baru buat Malaysia,” katanya menerusi perutusan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Azmin berkata walaupun Tahun Baru Cina merupakan perayaan masyarakat Tionghua namun seluruh rakyat Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum turut meraikannya dengan semangat muhibah, harmoni serta perpaduan yang utuh.

“Ayuh, kita bersama memperkukuh keazaman untuk bersatu padu demi pemulihan dan pencerdasan ekonomi yang mapan ke arah masa depan yang gemilang. Teguh kita, menang bersama,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta seluruh rakyat berganding bahu dan berkongsi tanggungjawab memerangi pandemik Covid-19 dengan semangat kesatuan, solidariti dan kecekalan.

“Semoga tahun Lembu Emas ini membawa kebaikan, tuah, kegembiraan dan kesihatan yang berpanjangan kepada semua yang meraikannya, ujian seumpama ini dapat membuktikan keberanian dan kecekalan rakyat,” kata Hishammuddin.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.