Skip to main
Logo Malaysiakini

Moratorium menyeluruh akan jejaskan ekonomi, rakyat - BNM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelaksanaan moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bercakap pada sidang media pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2020 secara maya hari ini, beliau berkata, langkah itu akan mengurangkan penampan bank sekali gus menyukarkan individu serta perniagaan untuk memperoleh pinjaman baru.

“Kedua, kekukuhan dan keuntungan bank penting untuk jutaan rakyat Malaysia, yang bukan saja sebagai pendeposit malah sebenarnya pemegang saham secara langsung (dari segi) simpanan dan pegangan mereka dalam institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Saham Bumiputera, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji.

“Ketiga, pendekatan bersasar adalah lebih baik berbanding moratorium menyeluruh memandangkan ia memberi pilihan kepada peminjam, (membolehkan mereka) membuat keputusan kewangan masing-masing,” katanya.

Nor Shamsiah berkata 1.4 juta rakyat Malaysian memohon bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan dengan kadar kelulusan 95 peratus.

Beliau berkata kira-kira 45 peratus peminjam memilih bagi pengurangan ansuran bulanan.

“Peminjam membuat pilihan bijak dalam menguruskan hutang mereka berlandaskan kemampuan mereka. Jadi, mereka tidak meminta moratorium, mereka tidak mahu satu penyelesaian untuk semua keadaan atau peminjam,” katanya.

- Bernama