Skip to main
Logo Malaysiakini

Beberapa aktiviti sukan individu, tanpa sentuhan dibenarkan mulai esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan beberapa aktiviti sukan yang bersifat individu serta tanpa sentuhan mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Aktiviti sukan tersebut ialah Joging (brisk walking), berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja seperti tenis, badminton, ping pong (acara perseorangan sahaja) dan permotoran (dua roda dan empat roda).

Selain itu aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri iaitu tanpa aktiviti bersentuhan.

Bagaimanapun, penggunaan fasiliti sukan perlu digunakan mengikut jadual dan tempahan, manakala kunjungan tanpa tempahan tidak dibenarkan (walk-in).

“Penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, sepak takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya lagi, sukan seperti badminton, tenis, ping pong, gimnasium dan golf perlu mematuhi prosedur operasi standard tertentu yang ditetapkan.

“Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.

“Pematuhan SOP turut akan dipantau oleh pasukan sukarelawan yang ditubuhkan atas inisiatif KBS iaitu Rakan Muda Sports Bubble Volunteers,” katanya.

SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan dan MKN.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan telahpun membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan dalam dalam Liga Bola sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin bagi memulakan kembali saingan penganjuran kejohanan tersebut seawal 5 Mac 2021.