Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO, Adun raih 300,000 buku untuk pustaka penjara, pusat tahanan remaja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dalam filem The Shawshank Redemption, watak utamanya kecewa apabila perpustakaan penjara yang dihuninya tidak mempunyai banyak buku.

Maka, dia yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana didapati bersalah membunuh, memutuskan untuk menulis surat kepada pihak berkuasa seminggu sekali untuk meminta lebih banyak buku dan dana. Selepas enam tahun, dia berjaya.

Begitu juga keadaannya dengan penjara di Malaysia yang kurang buku di perpustakaannya.

Bagaimanapun sebuah NGO memutuskan untuk memperbaikinya dengan bantuan Adun DAP, Rajiv Rishyakaran.

Pada Disember lalu, kempen sumbangan buku untuk para banduan dilancarkan. Dinamakan "Book Drive for Prisoners", ia berjaya meraih 300,000 buku dalam masa empat minggu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rajiv yang merupakan Adun Bukit Gasing berkata dia mendapati sokongan masyarakat terhadap kempen itu sangat luar biasa dan melangkaui jangkaannya.

Walaupun inisiatif itu telah berakhir, Rajiv berkata pihaknya masih banyak menerima sumbangan, daripada novel sehinggalah kepada komik.

Menurutnya, inisiatif itu dicadangkan oleh Ananda Rao, pengasas NGO Pertubuhan Kebajikan Sosial Sivasakthi.

“Oktober lalu, dia (Ananda) mencadangkan sumbangan buku untuk membantu banduan. Pada masa itu, saya percaya pasukan saya dapat mengendalikannya, jadi kita pun teruskan," katanya.

Ananda, seorang pesara tentera berusia 63 tahun, mula mengadakan program dengan banduan sejak lebih satu dekad yang lalu, dengan mengadakan kelas agama Hindu.

Dia berkata banduan beragama Hindu sering meminta buku yang memaparkan imej dewa agama itu.

“Ketika kami beri mereka (buku mewarna) untuk mewarna dewa-dewa Hindu, mereka sangat gembira.

“Ketika mewarna atau menggambar dewa tertentu, mereka akan tanya nama dewa tersebut atau mengapa dewa itu memegang senjata dan objek lain.

"Jadi kami beri penjelasan kepada mereka. Dari sini, kami menambahkan (pemahaman mereka tentang agama Hindu)," katanya lagi.

Namun, banduan tidak dapat membawa buku-buku tersebut ke sel mereka. Mereka bagaimanapun boleh ke perpustakaan selama 30 minit setelah mendapat kebenaran pihak penjara.

Setelah menyedari kekurangan buku di perpustakaan penjara, Ananda berkata dia memutuskan untuk memulakan kempen mengumpulkan bahan bacaan baru.

"Ada yang takut untuk mengemukakan hal ini (kepada pihak berkuasa penjara). Tetapi saya bekas tentera, saya tidak rasa bimbang."

Oleh itu, katanya lagi, dia memberi penjelasan sebaiknya dan pihak penjara sedia membantu.

“Saya beritahu mereka yang banduan kesunyian, sentiasa memikirkan keluarga mereka. Buku, walau buku kartun sekalipun, dapat membantu mengurangkan tekanan yang dirasai," tambahnya.

Mengenai buku yang berjaya dikumpulkan, Ananda berkata pihaknya memerlukan sekitar dua bulan untuk menyusun dan menghantarnya ke 10 penjara dan pusat tahanan remaja di seluruh negara.

Ini termasuk penjara Sungai Buloh, pusat pemulihan Puncak Alam, penjara Tapah, penjara Batu Gajah, penjara Taiping dan penjara Sungai Petani.

Katanya, setiap penjara atau pusat tahanan dapat menyimpan paling banyak 500 buku, dengan selebihnya akan disumbangkan kepada perpustakaan awam dan sekolah.

Beri lebih masa untuk membaca

Sementara itu, pengurus pembangunan masyarakat MalaysiaCare (penjara dan ketagihan) Sam Lim menyatakan kekecewaannya kerana buku dan perpustakaan tidak termasuk dalam program pemulihan banduan.

Baginya, perlu ada sistem yang lebih baik agar banduan dapat akses yang lebih besar terhadap kemudahan ini, dengan kawalan keselamatan yang wajar.

"Pada masa ini, ada sedikit kelonggaran. Anda meminta (kebenaran), anda pergi (ke perpustakaan). Selepas 30 minit, anda mesti kembali (ke sel),” katanya kepada Malaysiakini.

Oleh itu Sam mencadangkan agar pihak berkuasa penjara mengadakan kempen, acara dan pertandingan yang berkaitan dengan buku.

Sam, yang telah berkhidmat dengan MalaysianCare sejak 2009, juga mengajar di beberapa penjara dan pusat tahanan remaja.

Berdasarkan pengalamannya, dia berkata banduan lelaki lebih berminat dengan biografi, buku bergambar dengan gambar kereta sukan, cerita hantu atau kisah cinta.

Sam Lim

Oleh kerana majoriti tahanan remaja buta huruf, dia berkata bahawa mereka lebih suka buku bergambar.

Bagaimanapun, memandangkan tiada perubahan dalam koleksi buku di perpustakaan penjara, mereka yang menjalani hukuman penjara yang panjang terpaksa membaca bahan yang sama.

Sependapat dengan Ananda, Sam berkata buku dapat membantu mengurangkan tekanan jiwa, terutama semasa pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sepanjang tempoh PKP, penjara melarang kehadiran pelawat, termasuk dari NGO dan ini menyebabkan banyak program ditangguhkan.

Selain itu, Sam berkata banduan terpaksa duduk di sel masing-masing dan ini telah menambah lagi tekanan yang dirasai mereka.