Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor pelawa klinik, hospital swasta bantu urus pesakit risiko rendah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor mempelawa kemudahan perubatan swasta negeri itu untuk turut terlibat dalam pengurusan penyakit Covid-19 bagi kategori 1 dan 2.

Ia susulan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) bulan lalu untuk membenarkan pesakit positif Covid-19 kategori 1 dan 2 menjalani kuarantin dan pemantauan di rumah.

Pesakit Covid-19 Kategori 1 adalah mereka yang tidak mempunyai gejala manakala pesakit Kategori 2 menunjukkan gejala ringan.

Berdasarkan edaran yang ditandantangani Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu, untuk tujuan itu, JKN Johor turut menyediakan kit Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sebagai rujukan kemudahan swasta yang mahu terlibat.

Antara bahan di dalam kit berkenaan termasuklah borang-borang, bahan pendidikan berkenaan laporan MySejahtera, slaid, senarai, carta serta maklumat yang berkaitan.

“Namun, pihak tuan boleh merujuk terus pesakit Covid-19 ke CAC yang berhampiran sekiranya terdapat kekangan dalam pengurusan kategori 1 dan 2 ini,” katanya dalam edaran bertarikh 7 Februari 2021.

Edaran itu dikepil bersama surat kepada pengamal perubatan swasta negeri Johor yang ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Johor, Dr Haslina Zamani.

Berdasarkan carta aliran pengurusan pengurusan pesakit positif Covid-19 oleh kemudahan swasta, kemudahan yang terlibat bertanggungjawab untuk mengendalikan pengurusan pesakit yang disahkan positif di selepas membuat pemeriksaan di kemudahan swasta.

Bagi pesakit Kategori 2 (gejala ringan), Kategori 3 (gejala serius), Kategori 4 (alami pneumonia dan perlu bantuan pernafasan) dan Kategori 5 (kegagalan organ) mereka akan ditempatkan di bawah sistem kesihatan awam, sama ada di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) atau hospital.

Bagi pesakit Kategori 1 dan 2, mereka akan menjalani kuarantin di rumah dan dikendalikan oleh kemudahan swasta yang terlibat.

Antaranya, menguruskan kemas kini jadual senarai (line list) pesakit, memastikan pemantauan kendiri oleh pesakit menggunakan MySejahtera untuk pesakit tidak bergejala, pemantauan gejala secara virtual bagi pesakit bergejala, serta pemantauan di asrama atau tempat kerja secara berkala.

Bagi pengurusan pesakit positif daripada sektor industri pula, kemudahan swasta berperanan memberi notifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) jika pesakit perlu ditempatkan di hospital, serta berhubung dengan PKD untuk penghantaran data berkaitan.

Bagi pesakit Kategori 1 dan 2 sektor industri, mereka juga akan menjalani kuarantin di tempat tinggal di bawah kendalian kemudahan swasta.