Apa kita tahu mengenai 'akaun rahsia' Umno dan kenapa ia penting?
Pihak pendakwa raya dalam saman pelucutanhak terhadap Umno membuat dakwaan mengejutkan pada Rabu lalu bahawa Umno mempunyai akaun 'bank rahsia' yang tidak diaudit untuk menerima sumbangan politik.
Maklumat lanjut dijangka akan didedahkan di mahkamah, tetapi buat masa ini, inilah yang kita tahu mengenainya:
Bilakah akaun ini dibuka?
Menurut The Edge, pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa akaun tersebut dibuka pada tahun 1988 di Southern Bank cawangan Wisma Genting, Kuala Lumpur.
Southern Bank kemudiannya diambil alih oleh bank CIMB pada tahun 2006.
Tahun 1988 adalah tahun yang sama Umno dibatalkan pendaftarannya kerana mempunyai cawangan yang tidak sah, dan kemudian didaftarkan semula sebagai Umno Baru.
Siapa yang tahu mengenai akaun itu?
Pihak pendakwa berkata pemimpin Umno pada tahun 1988 tahu mengenai akaun itu, termasuk presiden Umno ketika itu Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Allahyarham Ghaffar Baba, dan bendahari Umno, Daim Zainuddin.
The Edge melaporkan bahawa presiden, timbalan presiden, dan bendahari berikutnya mungkin tahu mengenai akaun tersebut kerana mereka menguruskannya.
Ini menyokong kenyataan Mahathir pada tahun 2015, bahawa semasa menjadi presiden parti, sumbangan politik dimasukkan ke dalam akaun yang dikendalikan oleh tiga orang pemegang amanah termasuk dia sendiri.
Mahathir berkata ketika meletakkan jawatan sebagai presiden, dia mengarahkan wang tunai dalam akaun itu diserahkan kepada penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, dia tidak tahu parti itu mempunyai akaun "rahsia".
Berapa jumlah dalam akaun tersebut?
Dilaporkan akaun itu mempunyai baki RM193 juta pada awal tahun lepas.
Bagaimanapun, The Edge memetik siasatan polis menyatakan bahawa jumlah itu dikeluarkan pada pertengahan tahun lalu dan dipindahkan ke sebuah NGO dikenali sebagai Kelab Prihatin Graduan.
Baki semasa dikatakan lebih RM2,700.
Nama kelab ini juga tidak tertera dalam sebarang pencarian umum.
Namun, terdapat satu lagi persatuan mempunyai nama yang hampir sama iaitu Kelab Graduan Prihatin.
Menurut catatan oleh Kolej Sains dan Teknologi Antarabangsa Melaka minggu lalu, presiden Kelab Graduan Prihatin adalah Shahrul Azuwar Abdul Aziz.
Pada Disember lalu, Harian Metro melaporkan bahawa Shahrul Azuwar penerima darjah kebesaran Melaka disenaraikan sebagai pengarah kewangan Umno dan akauntan BN.
Mengapa ia penting?
Menurut pihak pendakwa raya, polis mendapati bahawa akaun Umno yang disebutkan itu tidak diaudit dan wang tersebut dipercayai tidak pernah dicatat dalam penyata kewangan tahunan Umno.
"Sumbangan politik yang tidak diaudit secara tunai juga melanggar Seksyen 14 (1) (d) dan (db) Akta Pertubuhan 1966," kata pihak pendakwa raya.
Seksyen 14 (1) (d) mensyaratkan bahawa mana-mana pertubuhan yang mendaftar dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) perlu menyediakan penyata akaun tahun kewangan sebelumnya, bersama dengan imbangan duga yang menunjukkan kedudukan kewangan pertubuhan pada akhir tahun kewangan.
Penyata ini mesti diserahkan dalam masa 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan diadakan.
Seksyen 14 (1) (db) juga menghendaki bahawa pertubuhan juga perlu mengisytiharkan wang yang diterima dari mana-mana orang, organisasi, pihak berkuasa, kerajaan, atau agensi dari luar Malaysia.
ROS diberi kuasa untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan yang dengan sengaja melanggar sebarang undang-undang di bawah Akta Pertubuhan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai