Skip to main
Logo Malaysiakini

UNHCR: Malaysia tak patut hantar pulang pelarian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) membantah hasrat Malaysia untuk menghantar pulang pelarian ke negara asal mereka.

Ia susulan laporan bahawa Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen, dengan tentera Myanmar menawarkan tiga kapal lautnya untuk mengangkut mereka.

"Sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang mengikat semua, prinsip tiada penghantaran pulang paksa terhadap pelarian (non-refoulement) turut terpakai di Malaysia," kata UNHCR seperti dipetik Reuters.

Menurut UNHCR, pihak berkuasa Malaysia belum memaklumkan pihaknya berkenaan langkah itu tetapi bimbang dengan "sejumlah" dalam tahanan di Malaysia, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang mungkin memerlukan perlindungan antarabangsa.

Menurut laporan itu lagi, UNHCR dilarang masuk ke pusat tahanan di Malaysia sejak 2019 dan itu manghalang badan tersebut daripada mengenal pasti pelarian dan membantu pencari suaka.

Warga Myanmar yang ditahan sebelum ini termasuk etnik Kachin, Chin dan Rohingya yang melarikan diri daripada konflik etnik yang dilakukan oleh tentera Myanmar.

Malaysia tidak mengiktiraf status Rohingya sebagai pelarian dan mengkategorikan mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pencari suaka dari Myanmar, menurut agensi pelarian PBB UNHCR, selain ribuan pekerja asing.

Terdahulu, Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (Reach) menggesa kerajaan agar berhati-hati dalam penghantaran pulang tersebut, terutama yang melibatkan etnik Rohingya.

PBB turut menyuarakan kebimbangan rampasan kuasa itu akan memburukkan lagi keadaan ratusan ribu etnik Rohingya beragama Islam yang masih ada di negara itu.