Saarani: Bersatu cari pasaran baru, 'jangan kacau kerusi Umno, PAS'
Bersatu jangan bertanding di kerusi yang telah dimenangi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad.
Tegas Saarani yang juga menteri besar Perak, semua kerusi parlimen dan DUN berkenaan kekal ditandingi Umno pada PRU15 akan datang, lapor Sinar Harian.
“Kalau ada keikhlasan untuk menyokong dan mendokong penyatuan di negeri Perak, jangan ganggu tempat Umno dan PAS.
“Terdapat dua Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bersatu di Perak sekarang iaitu di Sungai Manik dan Tualang Sekah. Kerusi itu sebenarnya hak Umno. Jadi, Umno akan letak calon bertanding di kawasan ini.
“Bersatu juga digesa tidak bertanding di parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang. Itu juga asalnya kawasan Umno.
“Kami menang dulu (PRU14) atas tiket BN (Barisan Nasional). Kita tidak akan bagi kepada Bersatu. Tiada sebarang kompromi,” katanya.
PN berkubur PRU15?
Sebaliknya, Adun Kota Tampan itu menyarankan Bersatu agar bertanding di kerusi-kerusi yang disandang oleh PH pada pilihan raya umum akan datang.
“Bersatu janganlah mengganggu tempat Umno dan PAS. Cuba cari pasaran baru, itu yang kita minta.
“Kalau tidak, seperti yang dijangkakan, akan berlaku pertandingan tiga penjuru ataupun empat penjuru. Jika itu berlaku, sudah tentu orang lain akan mengambil kesempatan dan parti-parti Melayu akan jatuh,” katanya.
Saarani juga dipetik Sinar Harian berkata, tidak mustahil PN akan berkubur pada PRU15.
“Ini mungkin boleh berlaku kerana di tempat-tempat Melayu akan berlaku pertembungan tiga penjuru. Kita ambil contoh apa yang berlaku di DUN Titi Serong.
“Ada tiga calon Melayu bertanding iaitu PAS, Umno dan parti Amanah. Orang Melayu di situ ada lebih kurang 60 peratus, selebihnya bukan Melayu.
“Jadi orang Melayu berpecah kepada tiga. Barangkali 20 peratus sokong PAS, 30 peratus sokong Umno dan 10 peratus lagi sokong Amanah. Tetapi orang bukan Melayu menyokong PH yang diwakili Amanah.
“Maka, Amanah yang menang. PAS dan Umno kalah. Amanah menang atas nama PH, didokong oleh DAP,” katanya menjawab soalan mengenai masa depan PN pada PRU15.
Malaysiakini sedang menghubungi kepimpinan Bersatu Perak bagi mendapatkan maklum balas parti mengenai hal ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai