Rogol dalam lokap: KDN, polis perlu pastikan ia tak berulang - Zuraida
Zuraida Kamaruddin menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis mengambil langkah agar kejadian rogol melibatkan remaja berusia 16 tahun di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri tidak lagi berulang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, insiden itu tidak harus didiamkan begitu sahaja hanya kerana pendakwaan telah dibuat terhadap suspek dan anggota polis yang bertugas ketika ia berlaku.
Katanya, polis dan KDN perlum memberi perkembangan terkini berhubung sama ada Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi CCTV yang boleh merakam dan memantau tahanan.
"Ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan ia bukanlah kejadian tidak diingini pertama berlaku di lokap," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Remaja perempuan itu dirogol ketika dilokap pada 9 Januari lalu oleh seorang tahanan lelaki lain, walaupun tahanan diasingkan berdasarkan jantina.
Mangsa mendakwa suspek memiliki kunci sel lokapnya.
Polis mendakwa CCTV di lokap tersebut hanya untuk pemantauan dan tidak boleh membuat rakaman.
Pada 9 Februari lalu, suspek yang berusia 19 tahun menukar pengakuan bersalahnya kepada tidak bersalah.
Dua anggota polis yang telah digantung tugas pula dihadapkan dengan pertuduhan pengabaian, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Mereka juga dihadapkan dengan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 166 Kanun Keseksaan, berhubung penjawat awam yang mengingkari undang-undang dengan niat menyebabkan bencana kepada individu lain.
Ketiga-tiganya diwakili oleh peguam yang sama.
Dalam pada itu, Zuraida menggesa transformasi CCTV dilakukan di lokap seluruh negara.
"Ini bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.
"Kejadian rogol ini bagi saya adalah luar biasa, kerana ia berlaku di balai polis, sebuah premis yang dibangunkan untuk menjunjung dan menegakkan undang-undang negara, sepertimana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis," katanya.
Dia juga menggesa kerajaan menggunakan peruntukan sedia ada untuk meningkatkan lagi hukuman bagi kesalahan seumpama itu, yang telah mencemarkan institusi polis.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai