Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertandingan Busana Tradisional tanam rasa bangga anak muda Orang Asli

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keunikan busana tradisi dengan olahan kreatif dalam Pertandingan Pakaian Tradisional Orang Asli memupuk sikap cinta dan bangga di kalangan komuniti ini terhadap kebudayaan mereka.

Dikendalikan untuk kali kedua secara dalam talian dari 17 Jan hingga 4 Feb oleh Persatuan Kebudayaan Kesenian Orang Asal Perak (PKKOAP), objektif asal pertandingan itu adalah bagi berkongsi seni dan kebudayaan Orang Asli kepada masyarakat luar.

Namun, kata pengerusi PKKOAP Ronnie Bahar, secara tidak langsung, acara itu juga memperkenalkan semula tradisi dan kebudayaan Orang Asli kepada anak muda dalam komuniti tersebut dan memberi keyakinan kepada mereka untuk mengamalkan tradisi nenek moyang.

Edwin Mathew Chew Beng (atas), 19, antara kira-kira 2,000 peserta pertandingan tersebut.

“Saya bangga orang luar dapat tengok kebudayaan Orang Asli. Saya hendak tunjuk kepada bangsa-bangsa lain tentang keunikan dan pakaian Orang Asli, biar seluruh Malaysia nampak,” katanya, yang berasal dari Bidor, Perak.

Edwin, yang digalakkan menyertai pertandingan tersebut oleh ibunya, mengenakan pakaian tradisi suku kaum Semai bersama alatan memburu iaitu sumpit buluh.

Jestafin Bah Genting, 24, memperagakan pakaian tradisi Semai yang bertemakan batik dan flora.

Bagi pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, Jestafin Bah Genting, 24, pertandingan ini juga memberi ruang bagi komuniti Orang Asli untuk mengetengahkan bakat kreatif mereka.

Gadis Semai dari Tapah, Perak, tersebut memperagakan pakaian yang dihasilkan bersama ibunya, mengambil kira tema pertandingan tersebut iaitu batik dan flora.

“Bukan setakat satu rekaan sahaja kami boleh hasilkan, malah pelbagai rekaan lagi yang kami boleh bentuk daripada hasil semula jadi alam sekitar," katanya.

Penggunaan daun-daun yang segar dan baru menjadikan pakaian yang direka kelihatan cantik dan menarik, tambah Jestafin.

Tina Tom, 60, dari suku kaum Seletar di Johor antara peserta warga emas pertandingan busana tradisi Orang Asli.

Jelas Ronnie, penggunaan bunga-bungaan dan daun berbau wangi merupakan sebahagian perhiasan kepala tradisi wanita komuniti Orang Asli.

Tidak lupa juga, penggunaan daun Mengkuang dan Kelapa dengan pelbagai cara anyaman untuk disesuaikan menjadi sepersalinan pakaian tradisi Orang Asli, kata peserta.

Menerusi pertandingan ini masyarakat luar dapat mengenali alat-alat muzik dan peralatan dapur yang jarang ditemui pada zaman kini seperti rebak, kentong, tampi dan beliung, katanya.

Peralatan ini juga digunakan sebagai prop oleh para peserta untuk melengkapkan gaya yang dipersembahkan.

Kasim Ali, 63, memperagakan pakaian tradisi suku kaum Temuan di Negeri Sembilan.


Penyertaan pelbagai suku kaum

Berbanding pertandingan pertama pada tahun 2018, peserta kali ini tampil daripada pelbagai suku kaum Orang Asli.

Sebanyak 14 daripada 18 suku kaum Orang Asli di Malaysia menonjolkan diri mereka dalam pertandingan kali ini.

“Ada suku kaum yang kita pernah dengar, tetapi jarang dilihat seperti suku Bateq, suku Lanoh, suku Temok dan suku Mendriq turut bersama-sama memeriahkan pertandingan ini,” kata Ronnie.

Katanta lagi, gambar-gambar peserta yang dikongsi di laman Facebook PKKOAP rata-rata mendapat reaksi positif dari masyarakat luar.

“(Mereka berkata), ‘Banyaknya suku kaum Orang Asli. Wah, Orang Asli cantik-cantik dan lawa-lawa. Oh, kita dapat kenal pelbagai jenis Orang Asli,’,” kongsi Ronnie.

Justeru, Ronnie berharap pertandingan ini akan menjadi acara tahunan yang dinantikan ramai dan dimasukkan ke dalam takwim pelancongan Malaysia.

Dalam jangka lima tahun, beliau juga berharap pertandingan ini boleh secara langsung di pentas besar, setanding pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau oleh komuniti Kadazandusun di Sabah.