Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee gesa tubuh Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan perlu menyegerakan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata, ia merupakan antara 12 cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan bagi menangani krisis pendidikan ketika pandemik Covid-19.

Maszlee berkata pendidikan adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha bersepadu, kolaboratif dan holistik daripada semua pihak.

"Maka tidak wajar hanya KPM dipertanggungjawabkan untuk menangani isu pendidikan kerana PdPR mengambil tempat di rumah dan bukannya di sekolah. Isu capaian internet, pemilikan peranti dan juga kandungan pembelajaran yang efektif memerlukan kolaborasi pelbagai pihak," katanya.

Antara cadangan yang dikemukakan Maszlee termasuk campur tangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam isu capaian internet, TV Pendidikan atau radio pendidikan.

"Manakala penyiaran TV Pendidikan pula merupakan bidang kuasa KKMM, tetapi bahan-bahannya pula perlu dibekalkan oleh KPM. Melalui KPM, bahan-bahan untuk TV Pendidikan perlu diperbanyakkan dengan diberikan kepada syarikatsyarikat penerbitan yang pelbagai tanpa monopoli satu-satu pihak sahaja.

"Malah geran FINAS dan juga MDEC (Malaysia Digital Economy Coporation) boleh digunakan untuk membiayai penerbitan bahan-bahan tersebut," katanya.

Selain itu dia turut menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menerbitkan bahan-bahan penyiaran Pendidikan.

"Pakar-pakar di universiti-universiti (sama ada IPTA mahupun IPTS) boleh digunakan. Geran-geran penyelidikan mereka boleh digunakan untuk penghasilan bahan-bahan berkenaan.

"Para siswa pula boleh digembeleng untuk mengajar murid sekolah, adik-adik atau anak-anak jiran dan sesiapa saja dalam radius yang sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) demi mengelakkan generasi tersisih dan keciciran murid," katanya.