Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perlukah DAP berubah?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, DAP kini berkembang menjadi sebuah parti arus perdana yang dipilih rakyat untuk bersama-sama rakan komponennya menerajui Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14).

Detik bersejarah itu sekurang-kurangnya membuktikan DAP boleh melangkah lebih jauh, sekali gus menafikan dakwaan jahat pihak lawan yang menyatakan ia akan menjadi pembangkang selama-lamanya.

Namun, selepas itu PAS dan Umno memanipulasi kelemahan kerajaan ketika itu dengan membakar sentimen perkauman untuk meruntuhkan pilihan rakyat hanya kurang dari dua tahun selepas PH mendapat mandat.

Momokan songsang terhadap DAP disambut oleh sesetengah orang - termasuk Melayu dan Islam - sehingga mereka gagal memahami kedudukan DAP dalam kerajaan dan beranggapan ia parti Cina.

Rentetan peristiwa itu sepatutnya memberi refleksi kepada DAP untuk berubah dan lebih bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya. DAP menempuh kesukaran untuk mengubah mentaliti parti pembangkang kepada parti pemerintah di peringkat persekutuan.

Saya melihat DAP belum menemui ramuan untuk membina naratif yang jelas bagi menjawab persoalan-perosalan sinis yang dibangkitkan oleh sesetengah rakyat sejak sekian lama.

Krisis pandemik Covid-19 memberi kesempatan kepada parti politik untuk membina semula asas yang baik mencari hala tuju bagi menempuh era norma baru. SOP politik lama tidak lagi terpakai bagi menjawab cabaran baru ditempuhi rakyat.

Malah, rakyat hari ini cuba mencari parti politik yang mampu menawarkan sesuatu yang lebih relisitik untuk membangunkan negara pascapandemik.

Persoalannya, sejauh manakah DAP mampu berubah untuk memenuhi harapan rakyat, menawarkan kepimpinan yang mampu membina semula Malaysia pascapandemik dan menjelang PRU ke-15?

Gambaran sebenar, lebih luas

Ada suara dalam parti yang berpendapat DAP harus fokus menguatkan semula asas mereka dalam kalangan penyokong Cina dan bukan Melayu menjelang PRU ke-15.

Beberapa pihak yang menyokong idea itu hanya memberi respon jangka pendek ke atas penolakan sebahagian orang Melayu terhadap DAP selepas PRU ke-14.

Ada juga pemimpin parti menyatakan DAP perlu fokus untuk mendapatkan sokongan orang Melayu bagi menguatkan pengaruh parti. Namun, pandangan ini didakwa pula sebagai akan mengkhianati sokongan ahli parti yang majoritinya masih kaum Cina.

Adakah padangan-pandangan ini akan merupakan ramuan terbaik mengangkat DAP dengan imej parti arus perdana untuk rakyat Malaysia?

Pengarah Pendidikan Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong, menjelaskan bahawa DAP perlu lebih ke hadapan menyakinkan orang Melayu - sebagai pengundi kaum majoriti - menjelang PRU akan datang.

Dia melihat DAP perlu menyelami keperluan orang Melayu tanpa bergantung atau ‘outsource’ kepada rakan-rakan parti lain dalam PH. Pendekatan ini akan membantu DAP melihat gambaran sebenar dan lebih luas serta menarik sekurang-kuranganya 40 peratus pengundi Melayu menyokong DAP.

Liew juga berpendapat DAP tidak boleh berasa selesa dengan sokongan pengundi bukan Melayu yang mempunyai sikap boleh menukar sokongan berdasarkan situasi semasa.

Walaupun pengundi bukan Melayu dilihat memilih DAP dan pembangkang sejak 2008, sebelum itu mereka lebih kerap memilih MCA, MIC dan Gerakan.

Penggunaan teknologi yang mendedahkan pelbagai informasi akan membantu pengundi bukan Melayu berfikiran kritikal dalam membuat keputusan politik atau mengundi. Jika DAP gagal melihat perubahan ini, maka pengundi bukan Melayu juga mungkin mengalih sokongan mereka kepada parti lain.

Ulasan Liew amat menarik dan menyeluruh. Idea itu dapat membina asas awal untuk DAP mara dengan imej parti arus perdana yang diterima seluruh rakyat Malaysia. Meskipun cadangan itu tidak sempurna dan ramai masih skeptikal terhadap kemampuan DAP untuk berubah, ia dapat membina asas yang baik untuk parti yang dilihat oleh sebahagian orang Melayu sebagai masih buntu mencari hala tuju yang jelas.

Perlu tawaran berbeza, segar

Hakikatnya, DAP perlu mempunyai iltizam yang lebih besar untuk menjadi sebuah parti yang mampu mengatasi cabaran dihadapi rakyat untuk 10, 20 atau 50 tahun mendatang.

Atas semangat perubahan ini, rakyat Malaysia mahu DAP melakukan perubahan secara drastik, kembali kepada rakyat untuk mencari dan membina kepentingan bersama.

DAP perlu mempunyai pendirian yang jelas serta komited menjadi sebuah parti yang berjuang untuk rakyat Malaysia. Aspek penerangan dan komunikasi DAP dengan rakyat perlu diperkemaskan.

Penerangan dasar dan idea yang dibawa DAP perlu lebih lunak serta realistik demi membina keyakinan rakyat.

DAP tidak seharusnya dilihat oleh rakyat, lawan, dan kawan sebagai parti untuk menggantikan MCA, Gerakan dan MIC bagi mendapat sokongan bukan Melayu.

Juga DAP bukan parti yang cuba menjadi lebih Umno dan PAS untuk menarik sokongan orang Melayu.

DAP perlu menjadi parti yang menawarkan sesuatu yang berbeza dan segar dalam politik norma baru, membina jalan tengah yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang kini dahagakan perubahan politik selepas merasai impak negatif permainan politik kuasa yang ditunjukkan Perikatan Nasional (PN).

Apa yang lebih mustahak, DAP mempunyai peranan untuk membuktikan kepada rakyat, mereka bukan lagi sekadar menjadi pembangkang buat selama-lamanya tetapi sebuah parti yang bersedia menerajui pentadbiran negara berdasarkan prinsip bersama rakan-rakan gabungan parti demi kesejahteraan Malaysia tercinta ini.


Fakhrurrazi Rashid ialah penyelaras penyelidik di Research for Social Advancment (REFSA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.