Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah batalkan saman Kamarul terhadap Mujahid

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusof terhadap anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof.

Ia berhubung saman yang difailkan Kamarul Zaman pada 28 Julai lalu berkaitan artikel bertajuk 'Disiplin ilmu bukan sentimen murahan' yang ditulis oleh Mujahid pada Mei 2017.

Menurut peguam Mujahid, Noorazmir Zakaria, keputusan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusof ketika prosiding hari ini.

Noorazmir yang merupakan peguam dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir berkata, pihaknya memfailkan permohonan agar saman itu dibatalkan atas dasar ia penyalahgunaan proses mahkamah.

Katanya, ini kerana tulisan tersebut turut dirujuk Kamarul dalam tuntutan balasnya dalam saman fitnah Mujahid terhadapnya pada 19 Jun 2017, berhubung artikel tulisan Kamarul bertajuk 'Dr Mujahid antara kuda tunggangan DAP terbaik'.

"Dalam kes itu, Kamarul sendiri sudah pun membuat permohonan maaf kepada anak guam kami," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, Kamarul turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Mujahid pada 21 Nov 2018 dan menarik balik tuntutan balasnya tersebut.

Susulan keputusan itu, Noorazmir berkata mahkamah turut memerintahkan Kamarul untuk membayar kos RM5,000 kepada Mujahid.

Kamarul diwakili peguam Mohd Harris Mohan.