Skip to main
Logo Malaysiakini

Khairy: Kontrak vaksin Pfizer termasuk bagi varian baru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa Malaysia akan memperoleh vaksin Pfizer-BioNTech yang terkini.

Hal ini kerana, perjanjian pembekalan vaksin negara Covid-19 dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) menyertakan klausa bagi memastikan akses ke vaksin terkini.

Vaksin Covid-19 itu dilaporkan mempunyai beberapa versi yang menimbulkan kebimbangan.

Bercakap menerusi sidang media petang tadi, Khairy berkata, “klausa varian” itu juga termaktub dalam perjanjian dengan pengeluar vaksin lain.

“Bila saya berunding, saya pastikan terdapat kemaskini berdasarkan versi baru, kemudian kontrak sedia ada meliputi vaksin terkini atau vaksin baru Pfizer-BioNTech.

“Ia sama dengan kontrak vaksin lain.

“Kita dah dapat kontrak yang akan membolehkan kita mendapatkan vaksin yang ditingkatkan berdasarkan varian dan mutasi,” katanya.

Selain Pfizer-BioNTech, Malaysia juga membeli vaksin dari AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBio dan Sputnik V.

Hanya vaksin Pfizer-BioNTech telah lulus untuk digunakan di Malaysia oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Penerima tidak boleh pilih jenis vaksin

Khairy, yang turut mengetuai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menjelaskan bagaimana vaksin ini akan diedarkan.

Dia memberi jaminan hanya vaksin diluluskan NPRA akan diguna namun penerima tidak boleh memilih jenis vaksin tersebut.

“Polisi kerajaan adalah apa jua vaksin yang diluluskan NPRA adalah selamat dan berkesan.

“Maka dengan itu, penerima tidak boleh pilih vaksin. Mereka hanya akan diberikan masa, tempat dan tarikh janji temu dan vaksin apa yang tersedia, saya beri jaminan ia selamat dan berkesan," katanta.

Kerajaan memberikan vaksin secara percuma kepada semua yang memilih untuk mendaftar, tanpa mengira status kewarganegaraan.

Ketika ditanya apakah kerajaan akan mempertimbangkan kembali dasar untuk tidak memvaksin wanita hamil, Khairy mengatakan sekatan itu akan ditarik hanya jika Kementerian Kesihatan yakin ia selamat.

Fasa pertama vaksinasi Covid-19 akan bermula pada 26 Februari dengan barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan. Penghantaran vaksin Pfizer pertama dijadualkan tiba pada hari Ahad ini (21 Feb).

Kerajaan telah mengenal pasti 300,000 doktor perubatan yang akan menerima vaksin, kata menteri itu. Walau bagaimanapun, ia masih sedang memuktamadkan barisan depan bukan perubatan yang boleh diberi vaksin terlebih dahulu. Ia juga sedang memuktamadkan jumlah vaksin yang akan diperuntukkan ke setiap negeri.