Skip to main
Logo Malaysiakini

Pekerja di penginapan 'tak sesuai didiami manusia' akan dipindahkan ke hotel

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dilakukan di bawah Ordinan Darurat, telah diwartakan semalam.

Pada sidang media hari ini, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengatakan pekerja yang tinggal di tempat penginapan yang sesak dan "tidak sesuai didiami manusia" akan segera dipindahkan ke penginapan berpusat (CLQ) sementara, termasuk hotel.

Kos penginapan bulanan - kos sewa RM200 untuk setiap pekerja dan kos utiliti RM20 - akan ditanggung oleh majikan, katanya.

Pindaan Akta 446 juga membenarkan ketua pengarah Jabatan Buruh memerintahkan pihak atasan untuk memperbaiki, mengganti dan membuat perubahan pada tempat penginapan yang gagal mematuhi undang-undang.

Majikan boleh didakwa di mahkamah kerana tidak mematuhi arahan berhubung tempat penginapan pekerja mereka.

Di bawah pindaan Akta 446, majikan boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM200,000 atau kedua-duanya, kata Saravanan.

Pindaan Akta 446 memperuntukkan hukuman lebih berat berbanding sebelum ini.

Sebelum ini, mereka yang melanggar akta itu dikenakan denda sehingga RM2,500 bagi setiap pekerja.

Menurut Saravanan, akta itu yang pada mulanya hanya meliputi semenanjung, akan diperluas ke Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh darurat.

Pindaan Akta 446 juga memperluas ruang lingkup kekuasaan sebagaimana yang ditetapkan di bawah akta ini kepada para pegawai kementerian dan agensi lain, termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ia juga memaksa majikan untuk menyediakan tempat tinggal bagi semua pekerja asing, kecuali pembantu rumah, katanya.

Kerajaan akan memfokuskan tindakan penguatkuasaannya dalam tiga sektor, iaitu pengeluaran, pembinaan dan perkhidmatan di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur yang terus menyaksikan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

Tumpuan ini akan diberikan kepada kira-kira 75,000 majikan di negeri di wilayah persekutuan berkenaan, tambah Saravanan.