Bebas kes dadah, lelaki terima berita ibu meninggal
Hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan V Jaya Prathaban tidak bersalah dan dilepaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Dia ditahan reman pada Mac 2019, bersama ibunya, G Ity Amah dan adiknya V Muligarasu - yang meninggal dunia dalam tahanan tahun lalu - serta enam yang lain.
Tetapi, hari yang sepatutnya menjadi hari kebebasan, menjadi hari duka buat Jaya Prathaban apabila dia keluar daripada mahkamah bersambut berita kematian ibunya.
Mugilarasu meninggal dunia dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, Julai tahun lalu, manakala ibunya, Ity Amah baru meninggal dunia kelmarin pada usia 67 tahun, sebelum sempat mendengar keputusan mahkamah terhadap kes anak lelakinya itu hari ini.
Jaya Prathaban hanya dimaklumkan mengenai kematian ibunya oleh ahli keluarganya selepas dia dibebaskan pagi tadi.
Menurut peguam Jaya Prathaban, Sheelan Arjunan pertuduhan terhadap mendiang Ity Amah digugurkan pada Mac 2020, setelah kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes, ketika menjadi tahanan di Penjara Kajang.
Menang kes tapi rasa macam kalah
Kata Sheelan, dia sendiri tidak sempat betul-betul mengucapkan tahniah buat Jaya Prathaban atas pembebasannya, kerana anak guamnya itu perlu bergegas ke Perak untuk upacara pengebumian ibunya yang akan berlangsung esok.
“Saya rasa teruk. Dalam kes ini, memang kita mendapat keadilan, tetapi apa harganya? Seorang orang kena tuduh (Mugilarasu) sudah meninggal dunia.
“Ini kali pertama, saya menang tetapi saya rasa macam saya kalah.
“(Tertuduh) Yang lain datang peluk saya, ucap terima kasih. Tetapi saya hanya tepuk bahu (Jaya Prathaban), kata kepada dia, kamu kena kuat,” katanya kepada Malaysiakini.
“Saya betul-betul rasa kesal untuk keluarga ini. Dari 2019 mereka kena tangkap, tidak ada hal baik yang terjadi buat mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mugilarasu meninggal dunia di Penjara Sungai Buloh pada 2 Julai 2020.
Menurut Sheelan, keluarga mendiang hanya dimaklumkan kematiannya selepas jam 11 malam, meskipun dia dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh pada sebelah petang, setelah terjatuh akibat sakit dada.
Jabatan Penjara memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati Mugilarasu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menurut laporan Bernama, ketiga-tiga beranak itu ditahan bersama enam yang lain, selepas polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Setia Alam dan disyaki terlibat dengan aktiviti memproses dadah pada Feb 2019, hasil risikan beberapa bulan.
Polis merampas bahan-bahan berikut: 6.9kg bahan disyaki heroin, 0.75kg bahan disyaki ‘heroin base’, 1.25kg bahan disyaki ganja dan 53.2 serbuk kafein, serta peralatan memproses dadah.
Menurut Sheelan, pada masa itu, ketiga-tiga beranak itu memang tinggal di rumah berkenaan, manakala enam yang lain pula hanya datang melawat sebelum polis melakukan serbuan.
Kata Sheelan lagi, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Yazid Mustafa pagi tadi membangkitkan berkenaan dadah yang ditemui di dalam salah satu bilik berkunci di rumah tersebut, yang membawa kepada penangkapan para tertuduh.
Katanya, tidak ada seorang pun tertuduh yang mempunyai akses kepada bilik berkenaan atau memiliki kunci bilik berkenaan, yang menyebabkan polis memecah masuk dengan menendang pintu bilik.
Malah, terdapat satu DNA lelaki tidak dikenali dijumpai di dalam rumah berkenaan.
“Hakim merumuskan, kunci tak jumpa, bilik terkunci, semua yang ada di rumah sudah ditahan. Maksudnya, ada orang lain yang tinggal di rumah itu tetapi tidak ditahan. Kewujudan DNA asing itu membuktikan memang ada seorang lelaki yang tak ada pada masa itu.
“Hakim merumuskan bilik itu disewakan kepada seorang lelaki warganegara India, dan pihak polis gagal untuk menemui atau menyiasat kewujudan lelaki warganegara India itu.
“Maksudnya, tak ada isu pemilikan dadah (oleh tertuduh) dalam kes ini,” kata Sheelan.
Berdasarkan kejadian yang menimpa keluarga Jaya Prabathan, peguam itu berpendapat proses untuk mendapatkan keadilan di negara ini haruslah dipercepat.
Jelasnya, dalam kes Jaya Prabathan masa banyak diambil bukan untuk prosiding perbicaraan tetapi tempoh menunggu sementara kes dibicarakan, dari ditahan reman sejak Mac 2019, sehinggalah perbicaraan bermula pada Ogos tahun lalu.
Dia turut menggesa pegawai penyiasat untuk benar-benar melakukan penyiasatan secara terperinci bagi mengelakkan apa yang menimpa Jaya Prabathan, mendiang Mugilarasu dan mendiang Ity Amah, turut menimpa orang lain.
Berhubung kematian Mugilarasu pula, Sheelan berkata dia telah mendapat arahan daripada anak-anak guamnya untuk memfailkan saman kecuaian (negligence suit) terhadap Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Peguam itu mendakwa Mugilarasu lewat dibawa ke bilik rawatan penjara meskipun sudah beberapa kali membuat aduan kepada pegawai penjara mengenai sakit dada dialaminya sejak beberapa jam sebelum itu.
Dakwa Sheelan lagi, hanya setelah mendiang kelihatan lemah dan berpeluh pada sebelah petangnya, barulah Mugilarasu dibawa ke bilik rawatan di mana dia rebah, sebelum dibawa ke hospital.
“Besar kemungkinannya, minggu depan kami akan failkan (saman itu),” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai