Skip to main
Logo Malaysiakini

328 kompaun dikeluar terhadap kilang di Johor tahun lepas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 328 kompaun bernilai RM656,000 dikeluarkan kepada kilang-kilang di Johor pada tahun lepas, sekali gus membuktikan kerajaan serius dalam memastikan semua premis ini mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeling 1974.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata pihaknya juga telah membuka sebanyak 64 kertas siasatan dalam tempoh sama, selain membuat lima penahanan operasi kelengkapan.

“Untuk makluman semua, kita sekarang ini dalam konteks untuk memastikan semua kilang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kita ambil berat dan serius untuk pastikan kadar pencemaran diakibatkan oleh kilang ini tidak berlaku untuk memastikan kehidupan rakyat lebih terjamin,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap kilang di Johor susulan kejadian pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada Mac 2019.

Ahmad Masrizal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi banjir di Taman Bayu Damai dan Kampung Sungai Kapal Lama di Pengerang, hari ini.

Menurut Timbalan Menteri itu lagi, sebagai memantau tahap pencemaran udara di kawasan perindustrian, kerajaan juga telah menjadikan Pasir Gudang di Johor Bahru sebagai tempat projek rintis dilengkapi sistem amaran awal pencemaran udara.

“Kita juga akan memastikan negeri-negeri lain yang mempunyai masalah kilang haram atau kilang yang banyak turut dilengkapi dengan sistem sama,” katanya.

Pada Februari tahun lepas, menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim ketika itu Yeo Bee Yin mengumumkan Pasir Gudang dilengkapi sistem amaran awal bernilai RM6.9 juta bagi membantu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pengesanan awal bahan pencemar yang berbahaya dalam udara.

Ini berikutan berlakunya insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim yang menjejaskan kehidupan penduduk Pasir Gudang kerana terdedah kepada risiko kualiti udara yang berbahaya.

- Bernama