Skip to main
Logo Malaysiakini

27 MP, senator gesa k'jaan tangguh hantar pulang tahanan Myanmar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 27 ahli parlimen dan senator menyeru kerajaan menangguhkan penghantaran pulang 1,200 tahanan Myanmar ke negara asal mereka, sebaliknya memberikan perlindungan sementara kepada mereka.

Kata mereka, ia bagi mengelakkan hak asasi mereka dicabuli oleh kerajaan tentera Myanmar, dengan merujuk perkembangan-perkembangan di Myanmar yang menunjukkan kerajaan itu mengundurkan proses demokrasi di sana.

“Perkembangan tersebut memberi isyarat wujudnya kebimbangan berasas sekiranya Malaysia menghantar balik warga Myanmar ini kerana mereka besar kemungkinan akan dianiayai,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Saran mereka, kerajaan haruslah mengikut undang-undang antarabangsa dan membenarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) bertemu dengan tahanan Myanmar di pusat tahanan Malaysia untuk memastikan sekiranya mereka memerlukan perlindungan.

Ini juga bagi membolehkan UNHCR menyemak status pelarian mereka.

“Kini, UNHCR tidak diberikan akses kepada warga Myanmar yang ditahan di pusat tahanan di Malaysia.

“Isu yang mendesak ini telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen Malaysia apabila PAC menyiasat perkara yang berkaitan dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Memandangkan perkembangan ini adalah sangat membimbangkan, kami menyeru kerajaan Malaysia untuk menghentikan usaha penghantaran pulang tahanan Myanmar ini dengan serta-merta,” kata mereka lagi.

Ahli parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teresa Kok (Seputeh), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Charles Santiago (Klang), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Oscar Ling Chai Yew (Sibu), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Kasthuri Patto (Batu Kawan), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau), Ahmad Hassan (Kapar), VN Sivakumar (Batu Gajah), Alice Lau Kiong Yieng (Lanang), R Sivarasa (Sungai Buloh), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Raub), Hanipa Maidin (Sepang), M Kulasegaran (Ipoh Barat), Khalid Samad (Shah Alam), dan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Senator yang menandatanganinya pula ialah Marzuki Yahya, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Aiman Athirah, Adrian Lasimbang, dan Lim Hui Ying.

Tentera Myanmar merampas kuasa pada 1 Feb, daripada parti pemerintah, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, dan menahan Suu Kyi bersama sejumlah pemimpin lain parti itu pada pagi sama.

Beberapa jam selepas itu, Ketua Tentera Myanmar Min Aung Hlaing menguatkuasakan darurat selama setahun di negara itu.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas meningkatnya ketegangan antara pihak tentera dan kerajaan.

Perkembangan yang menunjukkan kerajaan tentera Myanmar mula mengundurkan demokrasi, kata mereka, termasuklah pembatalan tauliah kepada ahli parlimen yang menang dalam pilihan raya November 2020, dan penggantian semua menteri serta pembentukan semula pentadibran tahap tempatan dengan anggota keselamatan atau sekutu mereka.

Myanmar juga dikatakan mengadakan pelantikan baru di Mahkamah Tertinggi dan Mahkamah Tinggi negeri dan wilayah, termasuk tribunal perlembagaan, serta membatalkan kebebasan berpersatuan dan bersuara selain menahan lebih 300 menteri, ahli parlimen, pemimpin parti politik, wartawan, sami dan pelajar.

“Kebanyakan mereka kini tidak dapat dihubungi dan ditahan di tempat yang tidak didedahkan,” tambah mereka.

Oleh yang demikian, mereka mendesak Malaysia untuk menggesa Asean mengadakan mesyuarat khas bagi menyeru Myanmar mengikuti prinsip piagam Asean, termasuk prinsip demokrasi dan perlindungan hak asasi manusia.

Ini termasuk dengan membebaskan tahanan yang ditahan sewenang-wenangnya, mengelak keganasan dan menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman, membenarkan parlimen bersidang, memulihkan akses internet, membenarkan pergerakan bantuan kemanusiaan dan kesihatan.

Mereka turut menggesa Myanmar membatalkan sekatan pengamalan agama, serta bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Hak Asasi PBB dengan menerima wakil bagi memantau keadaan di negara itu, selain berunding bagi mencapai penyelesaian.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar, selepas pemerintah tentera Myanmar menawarkan tiga kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang, yang dijangka tiba 21 Februari ini, dan berangkat pulang dua hari kemudian.

Menurut laporan Reuters, tawaran itu dibuat terhadap warga Myanmar yang ditahan di pusat tahanan imigresen Malaysia yang kebiasaannya menempatkan tahanan pencari suaka, pelarian dan mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian secara rasmi dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pencari suaka dari Myanmar, menurut agensi pelarian PBB UNHCR, selain ribuan pekerja asing.