Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO minta campur tangan mahkamah henti hantar pulang tahanan Myanmar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua kumpulan hak asasi manusia telah mengajukan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam usaha menghentikan penghantaran pulang 1,200 tahanan ke Myanmar.

Saman itu difailkan bersama oleh Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia hari ini, iaitu sehari sebelum penghantaran pulang yang dijadualkan esok.

Dalam siaran akhbar bersama, kumpulan tersebut mengatakan saman itu merangkumi perincian tiga pencari suaka yang telah didaftarkan dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), dan 17 individu di bawah umur yang mempunyai sekurang-kurangnya ibu atau bapa yang masih tinggal di Malaysia.

Dakwaan ini bercanggah dengan jaminan Jabatan Imigresen bahawa tidak ada pelarian dalam kalangan 1,200 warga Myanmar yang akan dihantar pulang.

"Kami percaya ketiga- tiga pemegang dokumen UNHCR mepunyai jangkaan berasas bahawa mereka tidak akan dikirim ke Myanmar, dan mengusir mereka akan melanggar hak mereka dan secara jelas melanggar prinsip non-refoulement yang turut terikat dengan kerajaan Malaysia.

"Memisahkan anak-anak dari ibu bapa mereka akan melanggar komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), yang secara jelas melarang tindakan itu di bawah Artikel 9. Akta Kanak-kanak Malaysia 2001 juga dengan jelas menyatakan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi kanak-kanak," kata pengarah eksekutif Asylum Access Malaysia, Tham Hui Ying.

Pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia Jorene Maliamauv menambah bahawa usaha menghentikan penghantaran pulang itu didasarkan pada maklumat dari kumpulan pelarian bahawa pencari suaka dan pelarian adalah antara orang yang dihantar pulang ke Myanmar.

Tuntutan itu menyebut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, menteri dalam negeri, dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kedua-dua NGO tersebut diwakili oleh Ambiga Sreenevasan, Lim Wei Jiet dan Gokul Radhakrishnan dari Sreenevasan Advocates & Solicitors, dan New Sin Yew dari AmerBon.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Malaysia telah bersetuju untuk menghantar pulang 1,200 tahanan ke Myanmar, di tengah rampasan kuasa tentera dan tunjuk perasaan di negara itu.

Tiga kapal tentera laut Myanmar dihantar untuk mengambil mereka dan dijangka meninggalkan Malaysia esok.

UNHCR telah mendesak Malaysia untuk tidak meneruskan penghantaran pulang tersebut, sementara kumpulan lain memberi amaran bahawa pengusiran itu memberi gambaran Malaysia mengiktiraf junta tentera yang sekarang berkuasa, dan membuat Rohingya dan etnik minoriti lain dianiaya.

Seramai 27 ahli parlimen dan senator semalam turut menyeru kerajaan menangguhkan penghantaran pulang 1,200 tahanan berkenaan dan menggesa memberikan perlindungan sementara kepada mereka.

Kata mereka, ia bagi mengelakkan hak asasi tahanan berkenaan dicabuli oleh kerajaan tentera Myanmar.