Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin: Jangan lupa guru swasta, institusi lain - Teo

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching menyambut baik usaha kerajaan untuk menjadikan guru sekolah kerajaan yang memiliki komorbiditi atau berisiko tinggi sebagai penerima awal vaksin Covid-19.

Bagaiamanapun Teo yang merupakan bekas menteri pendidikan turut menggesa kerajaan agar guru-guru yang memiliki keadaan sama di sekolah dan institusi lain tidak dipinggirkan.

Katanya, ia termasuk guru di pusat anak Genius, Sekolah Agama Rakyat, sekolah agama negeri, Maktab Rendah Sains Mara, Maktab Tentera Diraja, sekolah swasta, sekolah agama swasta dan sekolah persendirian Cina.

Pusat Anak Genius adalah program kerajaan bagi pendidikan awal kanak-kanak.

“Saya harap kesemua guru-guru ini juga diutamakan, selepas semua petugas barisan hadapan dan golongan risiko tinggi menerima vaksin.

“Ini adalah langkah kritikal untuk memastikan persekitaran selamat buat kanak-kanak dan menjadikan ekosistem pendidikan lebih stabil,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan cuba memasukkan 55,539 dari 415,840 guru di sekolah kerajaan sebagai penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya, guru-guru yang tersenarai adalah mereka yang berisiko tinggi.

Mengulas lanjut, Teo menjelaskan terdapat sejumlah 17,857 guru di sekolah swasta dan 13,040 cikgu di institusi pendidikan lain yang dikendali agensi kerajaan.

Katanya, guru-guru berisiko tinggi di institusi tersebut juga wajar menjadi penerima awal vaksin.

“Meskipun saya gembira guru di sekolah kerajaan diutamakan, mereka di pusat anak Genius, agensi kerajaan lain dan sektor swasta juga tidak wajar diabaikan kerana mereka dan pelajar mereka terdedah dengan risiko sama,” jelasnya.

Teo mengambil maklum bahawa tempoh tiga hingga lima hari diperlukan untuk vaksin memberi kesan, dan bertanya sama ada kerajaan mengambil kira perkara itu.

Ini kerana persekolahan bagi murid prasekolah, Darjah Satu dan Darjah Dua akan bermula lima hari lagi, iaitu 1 Mac.

Murid Darjah Tiga hingga Darjah Enam pula akan kembali ke sekolah pada 8 Mac, manakala pelajar sekolah menengah pada April.