Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengasas Sugarbook mengaku tak bersalah cetuskan ketakutan awam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengasas aplikasi Sugarbook didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, atas pertuduhan menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam, 10 Feb lalu.

Tertuduh, Chan Eu Boon, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sabreena Bakar@ Bahari.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan tersebut 10 Feb lalu, kira-kira sepuluh pagi dengan menggunakan sebuah laman web bagi menyiarkan satu hantaran bertajuk 'Top 10 sugar baby university in Malaysia'.

Hantaran itu dilihat pada pada hari yang sama, kira-kira pukul 6.26 petang di sebuah universiti awam di Shah Alam.

Tertuduh seorang usahawan teknologi maklumat didakwa dengan niat menyebabkan suatu ketakutan atau kegentaran kepada orang awam, bahawa mana-mana orang akan terdorong untuk melakukan satu kesalahan yang bertentangan dengan ketenteraman awam, melalui hantaran tersebut.

Chan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam T Shashi Devan dan Pauling Hee.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM100,000, kerana ia merupakan kesalahan yang serius dan melibatkan kepentingan awam.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, dan passport tertuduh diserahkan manakala sebutan semula kes 26 Mac depan.

Pada 18 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman tertuduh bagi membantu siasatan atas dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Media turut melaporkan usahawan tempatan berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu, ditahan pada 4.30 petang di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, 17 Feb lalu.

-Bernama