Skip to main
Logo Malaysiakini

JPSM mahu lahirkan 500 malim gunung setahun

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memperkenalkan kepakaran Malim Gunung Perhutanan (MGP) sebagai satu profesion, selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 500 malim gunung setahun.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri JPSM Mohd Yussainy Md Yusof berkata JPSM akan memberikan latihan dan kursus kepada mereka yang berkelayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi memastikan kerjaya itu mempunyai nilai tersendiri.

“Kita mahu memperkenalkan malim gunung ini sebagai profesion yang betul dan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 500 malim gunung setahun melibatkan belia dan Orang Asli seperti dalam pengumuman Bajet 2021.

“Sehingga kini, JPSM menerima kira-kira 3,000 permohonan bagi penyertaan kursus itu dan permintaan ini melebihi sasaran,” katanya pada sesi bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, semalam.

Beliau berkata semua permohonan baru bagi latihan itu boleh dikemukakan secara bertulis kepada Pengarah Perhutanan negeri mengikut kawasan yang dipilih.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti rekreasi di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Mohd Yussainy berkata JPSM sentiasa memastikan SOP yang dikeluarkan bersesuaian dengan permintaan penggemar aktiviti di kawasan itu.

“Pihak kami sentiasa bekerjasama erat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan nasihat dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti yang dibenarkan tidak menjejaskan usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Antara inisiatif lain JPSM ialah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jan lepas dengan menanam pokok pertama sebagai simbolik bermulanya kempen itu.

Jenis pokok yang akan ditanam dalam kempen itu ialah merbau, meranti tembaga, merawan siput jantan serta spesies pokok nadir.

Peruntukan kempen sebanyak RM20 juta itu akan digunakan untuk penyediaan anak pokok, kerja penanaman, rawatan dan penyelenggaraan, menaik taraf tapak semaian serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

- Bernama