Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua menteri Pulau Pinang, timbalan terima vaksin Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menerima suntikan vaksin COVID-19 pada 10.25 pagi tadi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang (HPP), sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri.

Chow menerima suntikan bersama 11 individu lain iaitu Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Razak Jaafar dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Asmayani Khalib serta enam petugas perubatan awam negeri.

“Saya berharap fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang melibatkan lebih kurang 31,000 petugas barisan hadapan dapat disempurnakan.

“Pulau Pinang sudah menerima bekalan vaksin pertama (pada 21 Feb) dan akan terima lima lagi penghantaran melibatkan 62,000 dos bagi menyempurnakan fasa pertama ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.

Mengulas tentang pengalaman beliau hari ini, Chow berkata proses suntikan itu yang dikendalikan oleh Penyelia Jururawat HPP Matron Hafizah Hamzah, sangat lancar dan tidak menyakitkan.

Semua 12 individu yang menerima suntikan vaksin hari ini akan menerima dos kedua kira-kira 21 hari kemudian.

- Bernama