Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun saran sempadan dibuka untuk pelancong yang telah divaksin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mencadangkan kerajaan membuka sempadan kepada semua pelancong dan pelancong perniagaan yang telah menerima vaksin.

"Sekarang 225 juta suntikan vaksin telah diberikan di seluruh dunia, sudah tiba masanya Malaysia memandang serius langkah ini.

"Jumlah orang yang diberi vaksin akan meningkat seiring waktu dan kita tidak harus ragu-ragu untuk melangkah ke depan.

"Beberapa negara di seluruh dunia telah membuka sempadan mereka untuk pelancong yang divaksinasi yang membolehkan mereka melepasi kuarantin yang dilaksanakan sejak awal tahun ini, dengan lebih banyak yang mengikutinya," kata Rajiv.

Rajiv berkata, keputusan membuka ekonomi termasuk membenarkan makan di restoran telah dilakukan untuk menyeimbangkan antara mengekang risiko penularan dan kelangsungan ekonomi.

Dia menyebut pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selepas sektor pembuatan dan komoditi.

"Pada tahun 2018, pelancongan menyumbang RM 94.5 bilion atau 5.9 peratus KNDK negara. Industri pengangkutan udara, termasuk syarikat penerbangan dan rantaian bekalannya, dianggarkan menyokong AS$ 5.2 bilion KDNK di Malaysia.

"Secara keseluruhan, 3.5 peratus dari KDNK negara didukung oleh input kepada sektor pengangkutan udara dan pelancong asing yang tiba melalui udara.

"Sayangnya, kedua-dua industri ini telah mencatatkan kerugian besar, penyusunan semula hutang, pemberhentian, penyelamatan dan bahkan kebankrapan tahun lalu dengan perbelanjaan besar bagi ekonomi negara kita," katanya.

Rajiv berkata, Malaysia boleh memulihkan semula industri pelancongan dan syarikat penerbangannya jika memanfaatkan peluang ini.

"Sekiranya kita adalah negara Asia pertama yang membuka sempadan kita, kita boleh menarik semua pelancong yang ingin melakukan perjalanan setelah berada dalam sekatan sejak sekian lama," katanya.