Skip to main
Logo Malaysiakini

'Darurat bukan untuk PM kekal berkuasa selama-lamanya'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan sejumlah pihak bahawa pengisytiharan darurat adalah untuk mempertahankan jawatannya, dalam ucapan sempena setahun pentadbiran Perikatan Nasional (PN) hari ini.

"Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi.

"Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan perdana menteri kekal berkuasa selama-lamanya," katanya dalam ucapan di Putrajaya hari ini.

Dia sekali lagi berkata bahawa darurat yang sedang berkuat kuasa ini akan tamat pada 1 Ogos nanti.

"Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat," katanya lagi.

Muhyiddin turut mengulangi bahawa proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong semata-mata untuk mengatasi Covid-19.

"Sepertimana yang saya telah tegaskan berulang kali, saya menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi.

"Apabila masalah Covid-19 telah dapat diatasi, saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.

"Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini," katanya.

Pengisytiharaan darurat yang berkuatkuasa pada pertengahan Januari lalu dilaksanakan sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika penularan Covid-19 dapat dikawal.

Sebuah jawatankuasa juga telah ditubuhkan yang antara lain berperanan menasihati Agong berhubung tarikh penamatannya.

Muhyiddin berkata lagi, fokus utama kerajaan pada masa ini adalah untuk memacu ekonomi negara ketika krisis ekonomi.

"Apabila pandemik telah berakhir, yang saya harapkan tidak lama lagi, saya akan mendapatkan nasihat YDPA untuk bubarkan Parlimen.

"Buat masa ini rakan-rakan sejawat saya di Kabinet akan terus menjalankan tugasan dan tanggungjawab sedaya upaya kami.

"Apabila pilihan raya diadakan, sudah pasti kita akan serahkan kepada rakyat untuk tentukannya sama ada kerajaan PN patut dipilih semula atau sebaliknya. Anda bebas memilih dan itulah erti demokrasi," katanya lagi.