Skip to main
Logo Malaysiakini

CIDB peruntuk RM7 juta bantu saring Covid-19 pekerja asing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bersetuju menyediakan peruntukan RM7 juta bagi membantu syarikat pembinaan yang tidak mampu membuat ujian saringan kepada semua pekerja asingnya.

Menurut Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof, dalam mesyuarat minggu lalu, CIDB bersetuju bahawa cabaran yang dihadapi oleh sektor pembinaan adalah memastikan semua pekerja asing di syarikat pembinaan diuji saring.

“Walaupun sudah ada bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tapi mereka kena keluarkan duit dahulu, baru boleh tuntut semula. Ada syarikat kecil dan sederhana tidak mampu.

“Sebab itu CIDB sudah bersetuju akan memperuntukkan sejumlah RM7 juta untuk membantu syarikat-syarikat ini dapat menyegerakan ujian kepada pekerja asing yang berdaftar.

“Diharapkan apabila ujian ini berjalan, ia dapat mengurnagkan risiko penularan di tapak bina,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Dia hadir sidang media itu bersama tiga menteri kanan lain, selepas menghadiri majlis penyampaian Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Semua majikan diwajibkan memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari bagi menangani penularan wabak berkenaan, seperti diumumkan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Kos ujian tersebut haruslah ditanggung oleh majikan.

Pada Januari, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mengusulkan agar CIDB memberikan subsidi kewangan ujian saringan Covid-19 melibatkan pekerja tapak pembinaan, bagi mengurangkan beban ditanggung syarikat.

Saranan itu dikemukakan selepas Fadillah mengarahkan CIDB menangani isu penempatan pekerja di tapak pembinaan yang menjadi punca penularan Covid-19.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa kementeriannya telah menggubal pendekatan Safe At Work bagi mengangani penularan jangkitan di tempat kerja.

Katanya, kertas cadangan tersebut akan dibentangkan di kementeriannya hari ini, dan akan dibentangkan pula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) beberapa hari akan datang.

“Sekiranya dipersetujui, kita akan laksanakan pendekatan ini di semua kilang dan tempat kerja supaya industri juga bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan perlindungan pekerja mereka.

“Kerana apabila dilindungi dan tidak dijangkiti, sudah tentulah kita tidak ada tindakan untuk menutup operasi mereka," katanya dalam sidang media sama.

Disoal mengenai kemungkinan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP), Azmin berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan penilaian risiko berkenaan hal itu kepada MKN hari ini.

Hal ini, katanya, memandangkan setiap keputusan haruslah bersandarkan kepada sains dan data, sama ada untuk melanjutkan mahupun menamatkan PKP, dan perkara itu sentiasa dikongsikan kepada awam menerusi sidang media Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kita tak pernah sorok atau simpan data-data ini kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, perkongsian data adalah sangat penting untuk tampil dengan penyelesaian yang berkesan.

“Jadi, tunggu esok. Ismail Sabri akan umumkan (soal pelanjutan atau penamatan PKP),” katanya lagi.

Setakat ini, PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor dijadualkan berakhir hingga 4 Mac, tertakluk kepada pengumuman Ismail Sabri esok.