Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Sudah waktunya Zahid pinjam semangat Widji Thukul

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PULASAN | Entah apa yang ada dalam fikiran Vitaly Zhuravsky semasa dia berada di Kiev pada pagi 16 Sept 2014 itu. Mungkin dalam kepalanya apa yang ada hanyalah menyelesaikan urusan di parlimen Ukraine saja.

Pada hari itu lebih 8,200km dari Kiev ada berjuta orang sedang bercuti atau sekurang-kurangnya meraikan hari pelepasan umum bagi memperingati tarikh pembentukan Malaysia.

Ia hari bertuah buat Malaysia. Tapi hari cukup sial buat Zhuravsky.

Tidak banyak yang diketahui mengenai latar belakang Zhuravsky kecuali dia seorang ahli parlimen yang menyokong Kremlin ketika sebahagian rakyat Ukraine berpendapat sikap yang betul adalah sebaliknya.

Justeru takdir bersikap keras pada ahli politik berusia 65 tahun itu pada hari berkenaan. Dikepung oleh orang ramai yang berang dan tidak lagi dapat menahan sabar dengan politiknya, Zhuravsky diangkat dan dicampakkan ke dalam tong sampah.

Dalam ruang yang sempit itu Zhuravsky tidak mampu melawan. Dia hanya mampu berkata-kata memujuk waima ketika kepalanya ditekan oleh orang ramai yang marah.

Barangkali Zhuravsky sedar, melawan bukanlah pilihan yang ada padanya ketika itu. Justeru ketika tayar buruk dan air dilemparkan ke badan ahli parlimen Party of the Regions itu, dia tidak mampu berbuat apa-apa.

Parlimen Ukraine pula menjadi saksi betapa hinanya Zhuravsky diperlakukan hampir tujuh tahun silam.

Politik memang kejam dan keji. Bukanlah politik itu mesti begitu tetapi kejahatan ahli politik yang berulang-ulang dan tidak dicegah itulah yang membuat politik berubah daripada praktik yang mulia menjadi amat hina.

Justeru politik dilihat tidak beragama. Maksudnya ia tidak mengenal halal atau haram, salah atau benar, dosa atau pahala.

Asalnya kita mahu saja percaya bahawa politik itu adalah usaha membawa kebaikan dan islah kepada manusia. Namun banyak kejadian menunjukkan dosa dan pahala, benar atau salah itu tidak lebih daripada bahan komoditi lain yang boleh dijual beli.

Cagarannya - sudah tentu rakyat.

Kita di negara ini - mahu tidak mahu - harus terus melihat politik yang bergelora dan penuh dengan aura berahi. Ia adalah seni putar dan belit yang licik dan kadang-kadang tidak dijangka.

Misalnya, kegarangan Umno kepada Bersatu dan kejantanan Bersatu melayan kerenah Umno.

Pada masa sama dalam Umno sendiri presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, sedang berdepan dengan cabaran tersendiri. Di kanannya, dia mahu membawa Umno menjadi pria terhebat, sedang di kirinya keengganan sesetengah pemimpin menurut langkah yang diatur.

Zahid masih acah-acah

Di depan pula ada masalah yang perlu diselesaikan di mahkamah. Di belakangnya ada buku '30 Dalil' yang mula diperkatakan akhir-akhir ini.

Apa pilihan yang ada pada Ahmad Zahid? Sudah tentu yang paling mudah ialah dia perlu menjadi berani.

"Adakah Zahid tidak berani?" mungkin itu soalan yang akan ditanya penyokong ahli parlimen Bagan Datuk itu.

Jawabnya: entahlah. Nampak macam tidak. Kalau pun Ahmad Zahid berani, ternyata dia tidak cukup berani. Mahu memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri saja pun kena Annuar Musa yang 'sahkan'.

Mahu mendesak Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pula, Ahmad Zahid masih bermain acah-acah. Tolak seinci, berundur sekaki. Maju setapak, ke belakang dua tiga tapak.

Watak sokongan seperti Ahmad Maslan dan Nazri Aziz tidak membantu. Hasut-hasut maya Najib Razak pula hanya berkesan dan nampak genuine di media sosial. Di dunia nyata Najib adalah Najib yang kita biasa kenal sebelum ini.

Ismail Sabri pula merupakan pemimpin paling kanan Umno dalam kabinet tapi gerak dan kelibat naib presiden itu kurang dilihat kecuali semasa mengumumkan SOP itu dan SOP ini. Sepatutnya Ismail Sabrilah yang paling kuat mendesak dan menekan PN demi Umno.

Tapi apa yang kelihatan tidak begitu. Entah kerana dia memang ada langkah sendiri atau sebahagian daripada kluster menteri, tidaklah dapat dipastikan dengan jelas.

Ketika dua tiga orang ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin dan orang ramai berdebar-debar menunggu Dewan Rakyat bersidang, tiba-tiba dua ahli parlimen PKR pula melompat memberikan dukungan kepada presiden Bersatu.

Wal hasil balik asal. Rakyat terpisat-pisat melihat tanpa mampu berbuat apa-apa pun.

Ketika kuntau Ahmad Zahid nampak tidak cukup menjadi, dia perlu memikirkan langkah yang lebih jauh dan berwawasan. Tambahan pula diyakini pilihan raya umum (PRU) akan menjelma tidak lama lagi.

Berkias dan berbidalan tidak akan membantu Ahmad Zahid khususnya dan Umno amnya. Biarlah tugas berkias dan berbidalan itu dijalankan PAS saja. Itu memang kepakaran PAS. Umno tidak perlu merampas kemahiran itu.

Dalam keadaan begitu, Ahmad Zahid perlu 'belajar' sedikit daripada Widji Thukul. Ahmad Zahid wajib menjadi si pemberani sama ada kepada pihak di luar parti atau dalam Umno. Dia tidak perlukan apa-apa dalil untuk menjadi berani.

Bak kata Widji Thukul: Hanya ada satu kata - Lawan!

Ahmad Zahid tidak perlu pun bersajak kerana - ini perlu difahami semua ahli politik negara ini - orang politik yang bersajak ialah orang politik yang terdesak.

Sudah banyak buktinya. Pak Lah bersajak, Mahathir Mohamad juga bersajak. Muhyiddin Yassin - semasa bergelut mencari ruang untuk kekal bertapak dalam politik arus perdana selepas dipecat Umno - pun bersajak meskipun hanya sebaris dua. Dia malah memetik sajak Chairil Anwar.

Takkan Ahmad Zahid nak mengalah kepada Muhyiddin, kan? Sajak bukan lagi pilihan untuk Ahmad Zahid untuk menjadi si pemberani.

Langkah politik terus diatur dan dilaksanakan setiap detik. Rakyat pula memang sudah sekian lama terdesak. Dan sesetengahnya memang sudah bersajak. Bukanlah kerana mereka seniman sangat, sebaliknya buat masa ini, hanya itu yang termampu diperbuat.

Semasa menjelaskan apa yang berlaku pada Zhuravsky hampir tujuh tahun silam, wartawan BBC, David Stern, menjelaskan bahawa kejadian itu dilatari oleh emosi rakyat yang mual kepada amalan rasuah di Ukraine.

Kiev memang bukan Kuala Lumpur. Zhuravsky bukan ahli Umno atau Bersatu. Tapi Zhuravsky adalah seorang ahli politik. Di Malaysia orang politik bersepah-sepah hinggakan kadang-kadang terasa menyemak dan merimaskan.

Dan ada satu perasaan sedang berkembang mekar dalam kepala orang ramai sekarang: ahli politik wajib diajar dan difahamkan. Kejahatan dan kejelikan yang dibiarkan akan membuat politik bertambah kotor. Dan itu mesti dibersihkan.

Apabila sampai masanya, sampah-sampah yang bertaburan mesti dikumpul dan dilupuskan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.