Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan lima lelaki merusuh depan restoran

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian merusuh di hadapan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata lima suspek berusia antara 19 dan 23 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur bermula semalam hingga awal pagi tadi.

“Semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul malam itu, kira-kira 12 individu bertindak merusuh dengan memecahkan botol dan gelas menggunakan kayu dan parang selepas tidak dibenarkan membuat pesanan makanan di restoran berkenaan.

Anuar berkata siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perasaan tidak puas hati apabila pengurus restoran mahu menutup perniagaan pada pukul 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kejadian itu turut tular di media sosial dengan memaparkan tindakan mereka membaling kerusi dan meja di hadapan restoran.

- Bernama