Skip to main
Logo Malaysiakini

3 individu mengaku tak bersalah jadi dalang pelacuran

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan menjadi dalang kegiatan pelacuran dua ibu tunggal.

Ketiga-tiga tertuduh, Choy Yin Luean, 40, Zainab Ismail, 43, dan Mohamad Shahrulriza Mohamad Zainuddin,31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Choy didakwa menyewakan premis dengan niat untuk mendapatkan wang sewa supaya individu itu diberikan kerja atau digunakan untuk membuat persetubuhan dengan orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Zainab dan Mohamad Shahrulriza pula masing-masing didakwa hidup sepenuh atau sebahagiannya daripada hasil persundalan dua ibu tunggal, berusia 39 tahun dan 22 tahun.

Zainab dan Mohamad Shahrulriza didakwa mengikut Seksyen 372A kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, sebatan denda jika sabit kesalahan.

Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, Kota Bharu, pada kira-kira jam 3.45 petang 23 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap ketiga-tiga tertuduh, dan menetapkan 5 April depan untuk serahan dokumen.

Tiga wanita mengaku tawar khidmat seks

Dalam perkembangan berkaitan, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, dua ibu tunggal tersebut serta seorang lagi wanita berusia 30 tahun, masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas dakwaan terlibat aktiviti menawarkan perkhidmatan seks.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan atau mana-mana maksud perbuatan lucah pada mana-mana tempat.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, Kota Bharu, sekitar jam 3.45 petang pada 23 Februari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli dan S. Gayathri.

Zawarni diwakili peguam, Mohd Nazri Awang manakala Nur Shamila dan Hidayah pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan dan Ariayani Mohd Aamin.

Ketiga-tiga peguam memohon hukuman denda yang rendah dikenakan terhadap anak guam kerana ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan selain mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM2,000 bagi ketiga-tiga tertuduh.