Malaysia minta Myanmar bebas Suu Kyi tanpa syarat
Malaysia akan menyokong sebarang usaha ke arah perdamaian dan mencari penyelesaian terhadap perbalahan dalam kalangan pemimpin Myanmar bagi mengelak kesan buruk kepada rakyat dan negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin berkata Malaysia juga meminta pemimpin politik yang ditahan di Myanmar termasuk Daw Aung San Suu Kyi, U Win Myint dan rakan-rakan mereka dibebaskan segera tanpa syarat.
"Kami mendesak semua pihak berkaitan tidak menggunakan kekerasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata.
"Kami sangat prihatin terhadap kehilangan nyawa dan kecederaan mereka yang tidak bersalah di Myanmar.
"Kami berharap Myanmar memberi ruang kepada rakyatnya mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpunan secara aman," kata Hishammuddin pada Mesyuarat Menteri Asean tidak rasmi untuk membincangkan krisis politik Myanmar, diadakan secara maya pada Selasa.
Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi Asean tahun ini, Brunei Darussalam. Turut serta Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin yang memberikan taklimat menyeluruh mengenai situasi di Myanmar.
Menurutnya sangat penting bagi Myanmar untuk berusaha mencari jalan keluar daripada krisis politik ini dengan cara menegakkan kehendak dan aspirasi rakyat.
Hishammuddin berkata tidak dinafikan urusan politik dalam negara adalah hak prerogatif Myanmar, namun diharapkan negara ini dapat mempertimbangkan kebimbangan yang disuarakan anggota Asean.
"Di pihak Malaysia, kami tetap yakin bahawa penyelesaian terhadap kebuntuan politik di Myanmar perlu diselesaikan sendiri.
"Malaysia menyokong teguh peralihan demokrasi Myanmar, proses perdamaian dan pembangunan ekonomi inklusif.
"Namun, ini tidak boleh sehingga menjejaskan kebaikan bersama di rantau Asean," katanya.
Beliau berkata kestabilan Myanmar adalah sebahagian daripada kejayaan perpaduan serantau dan ekonomi Asean, jika keadaan bertambah buruk, Asean perlu mempertimbangkan ia boleh merencatkan usaha ke arah keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau.
Justeru, Myanmar perlu terus bekerjasama dengan anggota Asean untuk mengelakkan keadaan yang mungkin mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini.
“Oleh itu, kami mendesak Myanmar untuk kembali ke meja rundingan dan memulihkan krisis politik untuk menghindari peningkatan ketegangan, yang boleh mengundang campur tangan asing ke rantau Asean.
"Situasi dalam mana-mana negara tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha Asean untuk mengejar dan memajukan kepentingannya ke peringkat antarabangsa," katanya.
Hishammuddin berkata Malaysia bersedia menggembleng usaha dengan negara Asean lain untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan Myanmar.
Malaysia berharap Myanmar dapat menjamin akses kepada bantuan kemanusiaan, untuk kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya.
Pada mesyuarat itu, Hishammuddin mengemukakan tiga cadangan untuk pertimbangan Asean dan Myanmar dalam menyelesaikan krisis, pertama Asean atas undangan Myanmar boleh memberikan sokongan melalui penubuhan sekumpulan individu terkemuka atau pakar dalam hal pilihan raya, untuk membantu merapatkan jurang yang wujud pada pilihan raya umum lalu.
Kedua, Myanmar dapat mempertimbangkan cadangan untuk Setiausaha Agung dan Pengerusi Asean mengunjungi Myanmar dan diberi akses kepada semua pihak yang terlibat, dan Menteri Luar Asean dapat mengetahui tentang penglibatan mereka secepat mungkin.
“Ketiga, Malaysia bersetuju untuk Asean terus terlibat dengan rakan-rakan antarabangsanya secara kolektif, atau melalui penubuhan Troika Asean, mengenai situasi di Myanmar. Semua cadangan akan dikongsi dengan Myanmar,” katanya.
Kesan buruk hantar pulang Rohingya
Sementara itu, Hishammuddin juga berharap situasi di Myanmar ketika ini tidak akan memberi kesan buruk terhadap penghantaran pulang Rohingya ke Myanmar.
"Malaysia turut terkesan dengan krisis di Rakhine berikutan berlakunya masalah migrasi tidak sah ke Malaysia.
"Kami akan terus menyokong usaha menghantar pulang Rohingya dengan selamat, sukarela, dan bermaruah. Kami mengalu-alukan komitmen berterusan Myanmar dalam hal ini," katanya.
“Kami juga menantikan peningkatan pelaksanaan cadangan Penilaian Keperluan Awal (PNA) yang dipimpin Setiausaha Agung dan pelaksanaan Penilaian Keperluan Komprehensif.
Pada 5 Februari, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) secara bersama menyeru Asean untuk mengadakan pertemuan khas membincangkan situasi politik di Myanmar, setelah rampasan kuasa tentera.
Kedua-dua pemimpin itu membuat seruan itu setelah mengadakan pertemuan di Jakarta sempena lawatan rasmi Muhyiddin ke Indonesia.
Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada pagi 1 Februari, beberapa jam sebelum Parlimen bersidang, dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).
Junta juga mengisytiharkan perintah darurat setahun dan berjanji untuk "mengambil tindakan" terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai