Skip to main
Logo Malaysiakini

Arab Saudi: Jemaah haji wajib ambil vaksin Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Arab Saudi mewajibkan jemaah haji yang ingin menunaikan rukun Islam kelima itu untuk mengambil vaksin Covid-19, lapor portal Middle East Eye.

Menteri Kesihatannya, Tawfiq al-Rabiah menambah, vaksinasi akan diwajibkan bagi semua jemaah yang berhasrat menunaikan haji pada Julai kelak.

Rabiah tidak menjelaskan sekiranya jemaah luar negara turut dibenarkan menunaikan ibadah itu pada musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, tegasnya vaksinasi menjadi syarat utama kesihatan kepada bakal jemaah untuk menunaikan haji.

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan sekiranya berkemampuan.

Pada 15 Feb lalu, Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian berkata kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci itu dijangka mengadakan perbincangan berkenaan kuota haji dan umrah bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Perbincangan antara dua negara mengenai kuota haji dan umrah pada tahun ini bakal berlangsung dalam masa terdekat apabila Arab Saudi menerima kunjungan rasmi perdana menteri Malaysia serta Menteri Luar Negeri (Hishammuddin Hussein) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Agama (Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri),” katanya, lapor Bernama.

Setiap tahun, dianggarkan seramai 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia yang akan menunaikan ibadah haj di Mekah.

Susulan wabak Covid-19 tahun lalu, Riyadh mengehadkan jumlah jemaah haji.