Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno Labuan buat persedian hadapi PRU15

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Labuan telah mula mengadakan mesyuarat bahagian untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Bahagiannya Mohd Dzulfaizal Manan berkata mesyuarat yang turut melibatkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri itu antaranya memfokuskan isu keperluan mengemas kini status keahlian dan mengenal pasti ahli Umno yang taat setia.

“Bahagian dan setiap sayap dalam Umno Labuan digesa membuat persiapan pilihan raya umum seterusnya bermula sekarang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Ketua Umno Bahagian Labuan Datuk Bashir Alias telah mengarahkan semua peringkat termasuk cawangan untuk menggerakkan jentera pilihan raya.

“Mengemas kini keahlian termasuk alamat mereka dan mengenal pasti ahli yang taat setia kepada parti adalah penting untuk memastikan Umno berada di landasan betul pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Mohd Dzulfaizal berkata persediaan itu berikutan keyakinan bahawa ahli Umno akan dicalonkan pada pilihan raya itu dan PRU15 akan lebih mencabar buat parti yang akan menerajui Barisan Nasional (BN).

Beliau mahu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri memahami idealisme, perjuangan dan objektif Umno serta menjadi lebih lantang, berani dan yakin supaya kewujudan Umno dirasai oleh rakyat.

- Bernama