Skip to main
Logo Malaysiakini

Runtuhan Suke: Pemandu treler langgar perancah besi positif dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemandu treler yang melanggar perancah besi pembinaan lebuhraya Suke semalam diuji positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zulkefly Yahya berkata pemandu treler itu seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 40 tahun.

"Hasil ujian saringan awal urin di IPD Dang Wangi dapati suspek positif methamphetamine," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Lelaki itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan sekarang ditahan polis.

Zulkefly turut menjelaskan kejadian semalam yang meragut dua nyawa itu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaaan pertama (treler) itu yang melalui Lebuhraya MRR2 apabila sampai di lokasi kejadian bahagian atas, treler itu telah berlanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki dan menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di dua-dua laluan Lebuhraya MRR2 dan telah menghempap kenderaan kedua (van) yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke TBS.

"Semasa kejadian van (dinaiki mangsa) dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies USJ 1," katanya lagi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.15 petang semalam ketika hujan dan lalu lintas sesak.

Kejadian berlaku di hadapan bangunan pangsapuri Desa Tasik di Kuala Lumpur, berhampiran TBS.

Lima orang berada di dalam van sedang dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di sebuah kilang teknologi di Subang Jaya sewaktu kejadian itu berlaku.

Dua penumpang wanita - seorang berusia 47 tahun dan yang lain berusia 42 tahun - maut di tempat kejadian.

Zulkelfy berkata, pemandu van itu - seorang lelaki berusia 47 tahun - mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, paru-paru bengkak dan pendarahan dalaman.

Dua penumpang wanita lain juga mengalami kecederaan. Seorang wanita berusia 54 tahun mengalami kecederaan di kaki kirinya manakala seorang wanita berusia 51 tahun mengalami betis kiri yang cedera.

Ketiga-tiganya sedang dirawat di Pusat Perubatan UKM.

Semalam, Zulkefly menafikan dakwaan Prolintas bahawa treler itu membawa lebih muatan yang dibenarkan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ini merupakan kejadian kedua membabitkan pembinaan lebuh raya Suke dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Pada Sept lalu, seorang wanita nyaris maut, selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).