Bersatu: Surat Zahid beri implikasi besar kerjasama dengan Umno
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam ini tidak memutuskan secara jelas mengenai hubungan parti itu dengan Umno.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin, berkata Bersatu memandang serius kandungan surat yang dihantar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bekerjasama dengan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut Hamzah, kandungan surat itu mempunyai implikasi besar terhadap kerjasama di antara Bersatu dan Umno di masa hadapan.
"Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara Umno, Bersatu dan Perikatan Nasional.
“Dalam hal ini, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat MPT, antaranya membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan Umno yang juga rakan kerjasamanya di dalam kerajaan PN.
Ini susulan surat Zahid bertarikh 26 Feb yang menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya akan diteruskan sehingga pembubaran parlimen.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata mesyuarat petang tadi turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.
“Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.
“Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya lagi.
Justeru Bersatu ujarnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqamah dalam mendukung serta mempertahankan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai