Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA: Keputusan mahkamah gambarkan sesiapa pun boleh fitnah parti politik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MCA menyatakan rasa kesal berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa parti politik tidak boleh menyaman individu kerana fitnah.

Ketua biro undang-undang MCA, Tay Puay Chuan berkata, MCA menghormati keputusan mahkamah tertinggi itu, namun berpendapat ia bakal memberi kesan yang besar dalam kes-kes yang akan datang.

"Penghakiman kes ini bakal memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja boleh memfitnah mana-mana parti politik tanpa sebarang bukti, dan tidak perlu berdepan dengan risiko dikenakan saman fitnah. 

"Keadaan ini sudah tentu akan membawa cabaran besar kepada parti-parti politik di Malaysia," kata Tay dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan keputusan itu, Tay meminta orang ramai menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menilai dan menapis tohmahan terhadap mana-mana parti politik agar tidak terkeliru dengan kenyataan yang tidak berasaskan fakta.

Semalam Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng untuk membatalkan saman fitnah yang dikemukakan kepadanya oleh MCA.

Panel tujuh hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf berkata mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Lim bahawa parti politik tidak boleh menfailkan saman fitnah.

Ini berdasarkan kes Goldsmith v Bhoyrul (1998), kes undang-undang Inggeris yang menyatakan bahawa parti politik tidak boleh menjadi pemohon dalam saman fitnah.

MCA menyaman Lim berhubung dakwaan bahawa parti politik itu menggunakan dana kerajaan yang diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Lim sebelum ini gagal membatalkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Tay dalam kenyataannya mendakwa Lim sebagai pengecut, kerana memilih membatalkan saman tersebut dan bukannya membuktikan dakwaannya di mahkamah.

"Kalau sudah begitu lantang menuduh kononnya “MCA mendapat wang derma tetapi tidak pernah menyalurkan kepada SJKC”, kenapa pula tidak berani membuktikan kenyataannya itu di mahkamah? 

"Sebaliknya memilih untuk merayu mahkamah membatalkan saman terhadapnya?

"Ini menunjukkan Lip Eng sendiri telah membuat pengakuan bahawa dakwaannya terhadap MCA ketika itu semuanya tidak benar dan fitnah semata-mata," katanya.